Halaman

22 September 2011

Kerajaan negeri sedia bantu KDN bina kompleks baru IPD dan IPK

Oleh FAUZI MOHD

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said memberitahu, Kerajaan negeri sedia berkerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi membina kompleks baru Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu.



Menurutnya, bangunan yang beroperasi sejak tahun 1960-an itu perlu dinaik taraf secepat mungkin berdasarkan keperluan mendesak berikutan kepesatan daerah ini serta mahu mewujudkan suasana kerja yang kondusif.

“Dulu, pihak Kerajaan negeri pernah berbincang dengan Polis Terengganu berhubung perkara ini. Kerajaan negeri bersetuju menyediakan tapak baru pembinaan kompleks itu di tepi kompleks lama dengan keluasan yang hampir sama.

“Selepas siap pembinaan, bangunan lama akan dirobohkan dan tapak asal akan diberi kepada Kerajaan negeri bagi membolehkan pelbagai projek komersil dilakukan di kawasan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Jamuan Rumah Terbuka Aidilfitri Polis Terengganu di IPK Terengganu hari ini. Menyambut ketibaan Menteri Besar, Ketua Polis negeri, Dato’ Jamshah Mustapa.



Kata Dato’ Seri Ahmad, pembangunan berkenaan meliputi pembinaan prasarana baru bertingkat yang lebih selesa, penambahan kelengkapan logistik dan kekuatan anggota yang akan dikemaskini mengikut kapasiti penduduk.

Tambah beliau, sekiranya perancangan itu dipersetujui oleh pihak Kementerian Dalam Negeri, kawasan projek komersil itu turut melibatkan pembangunan tapak Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah yang dirancang untuk dirobohkan.