Halaman

20 September 2011

TPM minta pemimpin setempat jalin hubungan baik dengan rakyat

Oleh: Suriati Ali

Tugas pemimpin masyarakat kini semakin mencabar berikutan perlu memikirkan bagaimana ingin mengukuhkan perpaduan antara kaum selain mencari idea untuk mengekalkan pentadbiran yang ada sekarang.



Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Mohd Yassin, berkata bukan mudah untuk mengekalkan keharmonian yang dinikmati semua lapisan masyarakat sekiranya tiada sikap tolenrasi dan kerjasama antara semua pihak.



“Sehubungan itu, setiap pemimpin setempat perlu menjaga hubungan baik dengan rakyat supaya mudah untuk mewujudkan suasana bersatu padu, mudah berbincang dan berfikiran terbuka,” katanya ketika berucap di majlis Ramah Mesra dan Jamuan Aidilfitri di Dataran Padang Merdeka, Sura, Dungun, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said bersama isteri To’ Puan Norliza Mahmud; Ketua Umno Bahagian Dungun, Dato’ Dr.Rosli Mat Hassan; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato' Tengku Putera Awang; Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Datuk Zaabar Mohd Adib dan YB Dr Haji A Rahman Mokhtar
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Besi, Dato’ Din Adam dan Adun Paka, YB Zakaria Abdullah.



Lebih 15,000 rakyat pelbagai lapisan masyarakat hadir memeriahkan program yang turut diserikan dengan pelbagai nyanyian lagu Aidilfitri dan hidangan makanan tradisional Terengganu.
Katanya, dia bangga Terengganu kini semakin hari semakin maju. Apa yang dinikmati itu sememangnya dinanti kerajaan Pusat.



“Terengganu tidak perlu diperkenalkan lagi kerana negeri ini sememangnya sudah lama membangun dan maju daripada pelbagai aspek terutama berkaitan pendidikan dan pembangunan,” katanya.