Halaman

20 September 2011

KPM jamin selesai kes pelajar kena kurung secepat mungkin

Oleh: Suriati Ali

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kesal dengan kejadian tiga calon Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) di salah sebuah sekolah rendah di Bandar Sarawak yang dikurung bagi mengelak menduduki ujian itu.



Menterinya yang juga Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Mohd Yassin, berkata dia dukacita dengan apa yang berlaku kerana pelajar itu sudah mendaftar mengambil UPSR.

“Mereka wajar diberikan peluang untuk mengambil peperiksaan itu sama ada pelajar itu cemerlang, kurang cemerlang atau lemah itu soal kedua.


“Pentadbir sekolah tidak mempunyai kuasa untuk menghalang setiap calon menduduki setiap peperiksaan kerana ia sudah termaktub dalam Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM),” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas berucap di majlis Ramah Mesra dan Jamuan Aidilfitri di Dataran Padang Merdeka, Sura, Dungun, hari ini.

Katanya, Kementerian sudah meminta Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia mengambil tindakan sewajarnya terhadap pentabir sekolah itu.

“Pada masa sama, kita juga akan mendapatkan laporan kenapa pelajar itu tidak dibenarkan ambil UPSR.

“KPM memberi jaminan kes ini dapat diselesaikan dengan segera di mana pelajar yang menjadi mangsa itu akan menduduki semula UPSR dalam tempoh terdekat,” katanya.

Katanya, pihak berkaitan akan mengolah soalan yang hampir sama taraf dengan soalan peperiksaan yang baru berlalu.

“Saya berharap dalam keghairahan pentadbir sekolah mendapat mencapai kecemerlangan dan memperoleh tawaran baru yang diberikan KPM di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), ia tidak seharusnya bertindak di luar batasan.

“Sekolah ini mungkin bimbang kalau pelajar yang dikurung itu menduduki UPSR akan menyebabkan penurunan paras kecemerlangan sekolah,” katanya.

Katanya, ini hak pelajar dan sebagai ibu bapa pun berhak mengetahui di mana tahap pencapaian kecemerlangan anak masing-masing.

“Walaupun KPM ada membuat tawaran, jangan sampai ke peringkat hak dan keupayaan pelajar untuk ambil peperiksaan itu dihalang.

“Saya meminta maaf kepada ibu bapa berkenaan kerana anak mereka tidak dibenarkan menduduki UPSR,” katanya.