Halaman

20 September 2011

Pesalah trafik ditawar diskaun 30 peratus

Oleh; Esah Abdullah

Pesalah lalu lintas di negeri ini berpeluang mendapat diskaun bayaran saman sehingga 30 peratus sekiranya mereka membuat bayaran dalam tempoh 14 hari saman dikeluarkan.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu, Encik Abdul Rahman Emang Anyie berkata, diskaun ini sudah lama dikuatkuasakan, tetapi masih ramai tidak mengetahuinya.

Katanya, jika pesalah membayar saman dalam tempoh satu hingga 14 hari dari tarikh saman dikeluarkan, mereka layak mendapat diskaun 30 peratus seperti yang ditawarkan.

“Selain itu, jika membuat bayaran melebih tempoh berkenaan sehingga 30 hari saman dikeluarkan, JPJ masih memberi potongan sebanyak 15 peratus,” katanya.

Bagaimanapun katanya,jika membuat bayaran selepas 30 hari tarikh saman dikeluarkan pesalah lalu lintas perlu membayar pada kadar penuh dan jika semakin lewat membayar harga akan meningkat dari kadar asal.