Kerajaan negeri telah membuat persiapan awal bagi menghadapi kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) di Pahang tahun depan dengan mengambil enam jurulatih luar iaitu tiga dari Thailand dan masing-masing seorang dari Cina, Korea dan Indonesia.
Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Zainal Abidin Hussin berkata, enam jurulatih luar ini meliputi sukan sepak takraw, judo, tekwando, badminton, gimnastik dan tinju yang sudah memulakan latihan dua minggu lau dibantu jurulatih tempatan.
“Usaha yang dilakukan ini adalah untuk memantapkan atlet kita sekali gus diharap mampu mengekalkan kejuaraan kali keempat berturut-turut,” katanya.
Selain itu katanya, kerajaan turut menghantar atlet pelbagai peringkat mengikuti beberapa kejohanan peringkat negeri dan pusat untuk memberi pendedahan kepada mereka sebelum bersaing diperingkat lebih besar tahun depan.
“Sebenarnya, latihan awal sudah bermula sebaik sahaja selesai Sukma 2011 di Kuala Lumpur Jun lalu, namun latihan secara insentif akan dilaksanakan selepas semua atlet selesai menduduki peperiksaan akhir tahun,” katanya.
Sehubungan itu beliau berharap semua jurulatih terbabit dapat memulakan program latihan secepat mungkin bagi memastikan hasrat kekal juara menjadi kenyataan.
Katanya, sehingga ini, kesemua 24 persatuan telah dipanggil untuk mengatur jadual latihan masing-masing dan 1 Disember depan merupakan tarikh akhir persatuan terbabit mengemukakan senarai nama atlet yang akan mewakili negeri.
Menurut Zainal Abidin, berdasarkan pelbagai kejayaanyang dicapai pada kejohanan lalu kerajaan optimis untuk bergelar juara sekali lagi tahun depan setelah berjaya mengengamnya pada 2008,2010 dan 2011.