Halaman

19 September 2011

Pasangan terpilih teruja sertai majlis persandingan

Oleh: Suriati Ali

Sepuluh pasangan bertuah yang berjaya melepasi syarat Program My Idol Raja Sehari 1Malaysia teruja untuk menyertai majlis persandingan yang bakal diadakan secara serentak di Taman Shah Bandar, Kuala Terengganu pada 22 Oktober ini.

Setiap pasangan terpilih program anjuran bersama Pejabat Pembangunan Parlimen Kuala Terengganu dan Agensi Pembangunan Masyarakat (APMT) Kuala Terengganu itu mendapat tajaan 99 peratus urusan perkahwinan mereka.

Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Haji Wan Ahmad Farid Wan Salleh, berkata semua urusan berkaitan perkahwinan pasangan berkenaan ditanggung sepenuhnya pihak penganjur.

“Ini termasuklah kos kenduri , pengedaran kad kahwin sebanyak 1,000 setiap pasangan , kelengkapan pelamin, pakaian, mak andam, wang hantaran anggaran RM5,000 serta pakej bulan madu bagi setiap pasangan,” katanya pada sidang media di Bilik Mesyuarat UMNO Bahagian Kuala Terengganu hari ini.

Beliau berkata, program berkonsepkan Gagasan 1Malaysia itu diadakan bertujuan membantu golongan yang tidak berkemampuan untuk mendirikan rumah tangga dengan pasangan pilihan masing-masing.

Pihak penganjur akan mengetengahkan tradisi perkahwinan budaya masyarakat Melayu, Cina dan India sebagai asas penganjurannya selain memupuk semangat perpaduan dan kesepakatan kaum sesuai matlamat Gagasan 1Malaysia.

“Program pertama kali dianjurkan itu mendapat sambutan lebih 100 pasangan menetap dan mengundi di Parlimen Kuala Terengganu merangkumi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang, Batu Buruk, Wakaf Mempelam dan Bandar,” katanya.