Halaman

20 September 2011

RUGI KALAU PILIH SELAIN BN - TPM

Oleh Ruslan Abdul Rahman dan Kamaruddin Mat Akib.



“Rugi, rugi, rugi serugi-ruginya jika rakyat, termasuk rakyat Terengganu memilih parti lain selain Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya akan datang,” kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Mohd.Yassin.

Katanya, belum pun memerintah lagi mereka telah menunjukkan sikap tidak menghormati perasaan rakyat, tidak mengenang budi, warisan dan sejarah bila ada pemimpin mereka belum apa-apa sudah menyatakan hendak menukar bendera negara Malaysia jika memerintah nanti.

“Jangan beri langsung peluang kepada golongan seperti ini,” katanya ketika berucap di Majlis Perjumpaan Khas dengan kepimpinan masyarakat tempatan, pegawai-pegawai kerajaan, swasta, perkilangan dan badan-badan bukan kerajaan di daerah Dungun pagi ini sempena lawatan sehari beliau ke Terengganu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said hadir sama bersama-sama Ketua Umno Bahagian Dungun, Dato’ Dr.Rosli Mat Hassan, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Datuk Zaabar Mohd Adib, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Besi, Dato’ Din Adam dan Adun Paka, YB Zakaria Abdullah.

Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin juga memberitahu bahawa rakyat di Selangor, Pulau Pinang dan lain-lain yang berada di bawah pakatan pembangkang kini sudah tidak selesa lagi kerana polisi negeri ditukar sesuka hati tanpa mengambilkira keperluan rakyat.

Beliau juga menjelaskan bahawa BN dan Umno bukanlah parti yang bersifat perkauman, terutama dalam membela kaum bumiputera tetapi memandangkan kaum bumiputera masih mundur dan ketinggalan, maka kerajaan memberi keutamaan untuk menaikkan taraf hidup mereka.

Mengenai Buku Jingga yang dikeluarkan oleh Pakatan Pembangkang tahun lalu bagi tujuan menggantikan Kerajaan BN dengan pakatan mereka, Timbalan Perdana Menteri menyifatkan segala janji yang ditaburkan dalam buku tersebut hanya retorik kerana realitinya mereka tidak dapat berbuat apa yang dijanjikan itu.

Dalam buku jingga itu antara lain dijanjikan royalti minyak sebanyak 20 peratus kepada Terengganu, Kelantan, Sabah dan Sarawak. Juga memberi imbuhan RM1000 setahun kepada warga emas yang berusia 60 tahun ke atas.

“Negara akan bankrap dalam masa tidak sampai dua tahun jika janji-janji yang dibuat itu dilaksanakan,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri kemudiannya mengadakan dialog bagi memberi kepuasan hati kepada pihak yang hadir untuk mendapat penjelasan mengenai pelbagai isu.