Yang di-Pertuan Agong ,Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan merasmikan Hotel Tanjong Vista, Kuala Terengganu petang semalam.
Keberangkatan Seri Paduka bersama Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah disambut Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah serta Pengarah Urusan, Hotel Tanjong Vista, Datuk Tan Choo Meng.
Pada majlis perasmian itu, Tuanku Mizan telah memasukkan kad replika kunci bilik ke dalam satu kotak khas sebagai gimik perasmian hotel berkenaan.
Sementara itu, Datuk Choo Meng ketika ditemui selepas majlis itu berkata, Hotel Tanjong Vista setinggi 14 tingkat dibina pada 2008 dengan peruntukan kira-kira RM23 juta.
Katanya, hotel bertaraf tiga bintang yang terletak di satu kawasan komersil di Jalan Sultan Zainal Abidin itu mempunyai 199 bilik dengan pakej harga serendah RM133 dan mula beroperasi pada 7 September tahun lepas.
Sebarang pertanyaan dan tempahan boleh dibuat melalui laman web www.hoteltanjongvista.com.my atau telefon 09-6319988.