Halaman

22 September 2011

8,496 terima bantuan pendidikan YT sejak 2006

Oleh FAUZI MOHD

Seramai 8,496 pelajar di Terengganu menerima bantuan pendidikan daripada Yayasan Terengganu (YT) yang melibatkan perbelanjaan lebih RM8.4 juta sejak bantuan itu diperkenalkan pada tahun 2006.

Pemangku Pengarah nya, Zakaria Yusof berkata, tahun ini 2,156 pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Pesekolahan Malaysia (STPM) akan menerima bantuan itu yang melibatkan perbelanjaan hampir RM220,000.

"Mereka akan menerima RM1,000 seorang sebagai galakan dengan harapan mereka berusaha untuk mendapat keputusan terbaik dan cemerlang dalam peperiksaan itu," katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.


Beliau berkata Menteri Besar Dato' Seri Ahmad Said akan menyampaikan bantuan kepada pelajar-pelajar berkenaan di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, 26 September ini.

Katanya,pelajar-pelajar yang menerima bantuan itu terdiri daripada pelajar-pelajar yang tidak pernah mendapat sebarang bantuan atau apa-apa biasiswa daripada mana mana pihak.

Dalam perkembangan lain Zakaria berkata YT menaja 92 orang pelajar untuk melanjutkan pelajaran dalam pelbagai bidang ke luar negara yang melibatkan lebih RM23 juta tahun ini.

Beliau berkata daripada jumlah itu 66 orang melanjutkan pelajaran ke Rusia yang melibatkan perbelanjaan RM19 juta, United Kingdom (12) RM3 juta dan Jordan (8) RM1.4 juta.

Menurutnya selain itu YT turut menghantar 473 pelajar melanjutkan pelajaran keluar negara dalam pelbagai jurusan sejak tahun 2006 sehingga tahun ini.

Pelajar-pelajar itu digalakkan meneruskan pengajian hingga ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) bagi membantu keluarga apabila pulang ke tanah air nanti, katanya