Halaman

18 September 2011

Pemenang Piala FA dirai di majlis sambutan Aidilfitri



Oleh: Amirullah Othman

Kira-kira 5,000 pengunjung hadir memeriahkan majlis sambutan Aidilfitri jabatan-jabatan kerajaan daerah Marang yang diadakan di Dataran Pejabat Daerah Marang, hari ini.

Pada majlis itu juga semua pemain Piala FA Terengganu yang muncul juara baru-baru ini, turut diraikan, sebagai tanda sokongan dan penghargaan ke atas kejayaan mereka.

Majlis berkenaan turut dimeriahkan dengan kehadiran pemimpin-pemimpin masyarakat, penduduk tempatan dan penjawat awam daripada pelbagai agensi dan jabatan kerajaan di daerah Marang.

Semua jabatan utama di daerah Marang terlibat dalam majlis itu di mana terdapat 12 gerai menghidangkan menu yang berbeza-beza disediakan Jabatan yang berlainan.

Pejabat Daerah Marang yang menjadi pengerusi program tersebut turut menumbangkan seekor kerbau untuk dijadikan juadah gulai kawah bagi hidangan pengunjung.

Antara tetamu yang hadir ialah Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu, Dato’ Che Mat Jusoh; Penolong Pengurus Pasukan, Sheikh Ahmad Tajuddin Yusof; Jurulatih Irfan Bakti Abu Salim dan semua pemain pasukan Terengganu.

Semua pemain, termasuk lima orang dari daerah Marang turut diberikan cenderamata dan sijil penghargaan daripada Pegawai Daerah Marang, Haji A. Rahman Che Ali.

Haji A.Rahman melahirkan rasa bersyukur kerana majlis pada hari ini berjalan dengan lancar dan mendapat sambutan baik daripada orang ramai.

Majlis tersebut yang ini bermula kira-kira jam 10.30 pagi berakhir jam 3 petang.