Halaman

19 September 2011

1,268 individu tidak tuntut wang zakat

Oleh FAUZI MOHD

Seramai 1,268 orang yang disenaraikan menerima zakat tahun ini tidak menuntut wang tersebut daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Wan Harujan Sulaiman berkata, jumlah itu adalah antara 32,000 penerima yang dikategorikan sebagai layak untuk mendapatkan bantuan zakat bagi tahun 2011.

Katanya, seramai 21 orang pula mengembalikan wang yang diterima atas kesedaran bahawa mereka tidak lagi berhak menerima wang itu.

“Pada tahun lalu, kira-kira 3,000 orang telah menolak untuk menerima wang zakat kerana mereka merasakan tidak lagi layak dan telah keluar daripada kelompok asnaf.

“Kita amat menghargai golongan ini kerana berusaha untuk mengubah taraf hidup dan keluar dari kepompong kemiskinan,” katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Wan Harujan memberitahu, sebanyak RM12.7 juta telah diperuntukkan oleh Maidam bagi pemberian zakat kepada 32,000 orang asnaf fakir dan miskin pada tahun ini.

Sepanjang Ramadan lalu katanya, pihak Maidam telah menerima RM22.36 juta bayaran zakat fitrah, iaitu pertambahan kira-kira RM3 juta berbanding tahun 2010.

“Pertambahan ini memberi peluang kepada lebih ramai golongan yang memerlukan seperti asnaf anak yatim, saudara baru dan pelajar untuk menikmati hasil perolehan wang zakat,” ujarnya.