Halaman

24 September 2011

Semarak Merdeka di Besut

Oleh: Mohammad Ishak



Program Semarak Merdeka Peringkat Daerah Besut mencatat sejarah apabila ribuan peserta yang mewakili pelbagai komuniti daerah itu membanjiri Dataran Jertih Souq.

Lebih 200 kontinjen yang menyertai perarakan memenuhi dataran yang terletak di tengah pusat bandar itu.

Perarakan kontinjen bermula jam 7.30 pagi melalui lima penjuru termasuk dari Hulu Besut,Kuala Besut, Kota Putera, Jabi dan Jertih menyebabkan jalan masuk ke bandar ini ditutup kepada semua kenderaan sejak jam 7 pagi.

Pelbagai acara menarik diadakan termasuk perarakan gajah, kuda, kereta sewa, kederaan pacuan empat roda, basikal, vespa, kancil dan motosikal berkuasa tinggi.

Manakala kontinjen perarakan pula disertai jabatan kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pasukan keselamatan, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan petubuhan lain.

Program anjuran bersama Pejabat Daerah Besut, Jabatan Penerangan Terengganu, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dan Umno Bahagian Besut, turut dihadiri pemimpin kerajaan daerah itu.

Ketua Umno Bahagian Besut, Dato’ Seri Idris Jusoh yang juga Pengerusi Mara, hadir.



Paling menarik, program itu turut memberi penghargaan kepada lebih 100 tokoh yang berjaya dalam perjuangaan kemerdekaan termasuk mereka yang bertugas sebagai anggota tentera, polis dan home gard.

Manakala pihak penganjur juga memberi penghargaan kepada 12 penerima khas Tokoh Kemerdekaan termasuk, Tan Sri Dr Mohamad Yusof Noor, Tun Mohd Salleh Abas, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud, Engku Tan Sri Datuk Seri Ibrahim Engku Ngah dan beberapa tokoh lain dalam bidang akademik, agama dan budaya.

22 September 2011

Kerajaan negeri sedia bantu KDN bina kompleks baru IPD dan IPK

Oleh FAUZI MOHD

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said memberitahu, Kerajaan negeri sedia berkerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi membina kompleks baru Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu.



Menurutnya, bangunan yang beroperasi sejak tahun 1960-an itu perlu dinaik taraf secepat mungkin berdasarkan keperluan mendesak berikutan kepesatan daerah ini serta mahu mewujudkan suasana kerja yang kondusif.

“Dulu, pihak Kerajaan negeri pernah berbincang dengan Polis Terengganu berhubung perkara ini. Kerajaan negeri bersetuju menyediakan tapak baru pembinaan kompleks itu di tepi kompleks lama dengan keluasan yang hampir sama.

“Selepas siap pembinaan, bangunan lama akan dirobohkan dan tapak asal akan diberi kepada Kerajaan negeri bagi membolehkan pelbagai projek komersil dilakukan di kawasan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Jamuan Rumah Terbuka Aidilfitri Polis Terengganu di IPK Terengganu hari ini. Menyambut ketibaan Menteri Besar, Ketua Polis negeri, Dato’ Jamshah Mustapa.



Kata Dato’ Seri Ahmad, pembangunan berkenaan meliputi pembinaan prasarana baru bertingkat yang lebih selesa, penambahan kelengkapan logistik dan kekuatan anggota yang akan dikemaskini mengikut kapasiti penduduk.

Tambah beliau, sekiranya perancangan itu dipersetujui oleh pihak Kementerian Dalam Negeri, kawasan projek komersil itu turut melibatkan pembangunan tapak Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah yang dirancang untuk dirobohkan.









Terengganu Inc beroperasi di bangunan sendiri

Oleh; Esah Abdullah



Terengganu Incorporated (TI) kini mempunyai bangunan sendiri di Kawasan Perindustrian Chendering dan dirasmikan oleh Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said hari ini.



Bangunan asal milik Syarikat Ladang Rakyat ini dibeli dengan harga RM9.5 juta untuk dijadikan pusat pentadbiran dan operasi yang menempatkan 26 kakitangan pelbagai jawatan.

“Sebelum ini TI menumpang di bangunan SEDC kemudian berpindah ke kuanters kerajaan Batu Buruk dan sekarang baru dapat bangunan sendiri yang selesa,” kata Menteri Besar pada sidang media di Chendering hari ini.



Katanya, selaku syarikat induk kepada 32 syarikat anak kerajaan negeri , TI perlu ada bangunan sendiri yang selesa sebagai pusat pentadbirannya.

Sehubungan itu, Dato’ Seri Haji Ahmad berkata usaha sedang dijalankan untuk meningkatkan pelaburan dan tumpuan diberi kepada projek yang boleh mendatangkan keuntungan kepada syarikat.

“Setakat ini dua syarikat iaitu Permint Sutera Semai dan Hubungan Raya telah ditutup dan yang terbaru GP Door yang mengalami kerugian berterusan walaupun setelah pemulihan dibuat,” katanya.

Katanya, kerajaan tidak sanggup menanggung beban berpanjangan dan terpaksa menutup mana-mana syarikat tidak boleh membuat keuntungan.

"Kajian menyeluruh akan dibuat bagi mengesan pemasalahan yang dihadapi dan mencari punca kenapa sesebuah syarikat itu tidak boleh membuat untung sedangkan projek berjalan seperti biasa,” katanya.




SATU lancar perkhidmatan talian aduan

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Terengganu menjadi negeri pertama yang menyerahkan urusan menerima aduan berhubung masalah bekalan air daripada pengguna kepada syarikat swasta, bagi memendekkan tempoh yang diambil bagi mengatasi masalah berkenaan.

Melalui Talian Aduan Syarikat Air Terengganu (SATU) yang kini dikendalikan Syarikat VADS Bhd, setiap aduan yang dikemukakan berhubung bekalan air di Terengganu dapat diatasi dalam tempoh satu hari atau paling lama tiga hari jika masalah tersebut lebih serius.



Majlis Menandatangani Perjanjian dan Pelancaran Talian Aduan SATU, antara SATU dan Syarikat VADS Bhd, dirasmikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, di Riyaz Heritage, hari ini.



Hadir sama di majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Haji Husain Embong dan Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat VADS Bhd, Haji Ghazali Omar.



Menteri Besar berkata, sebagai sebuah anak syarikat milik penuh kerajaan negeri, beliau mengharapkan pihak pengurusan SATU sentiasa berusaha meningkatkan prestasi kakitangan serta mutu perkhidmatan bagi memastikan pengguna air di negeri ini mendapat perkhidmatan terbaik.

“Seperti yang sering saya ingatkan kepada setiap jabatan dan agensi kerajaan yang saya lawati atau hadir pada majlis-majlis anjuran mereka, saya juga mahu SATU peka dengan konsep yang diperkenalkan kerajaan negeri iaitu “Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan”.

“Ini bermakna setiap program atau dasar yang dilaksanakan dalam pentadbiran SATU perlulah selaras dengan konsep “Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan”.

“Saya yakin usaha pihak pengurusan SATU memperkenalkan Talian Aduan SATU yang akan dirasmikan sebentar lagi, bertujuan ke arah meningkatkan perkhidmatan kepada pengguna di seluruh negeri,” katanya.

Beliau berkata, di bawah pimpinan Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, banyak perubahan telah berlaku dalam perkhidmatan awam sejajar dengan ekspektasi dan kehendak stakeholders yang tinggi.

“Secara amnya, perubahan-perubahan yang dilaksanakan dari masa ke semasa, tidak lain dan tidak bukan, hanya bertujuan memastikan perkhidmatan awam sentiasa relevan dan mampu memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Kini penjawat awam perlu berperanan dengan lebih cekap, berkesan, responsif dan berani untuk bertindak melakukan perubahan ke arah memodenkan perkhidmatan sektor awam dan seterusnya dapat memenuhi kehendak masyarakat.

“Kita semua perlu berubah dan sedia membuat perubahan bagi mencapai matlamat “1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” yang dibawa Perdana Menteri.


“Perubahan dan proses pemodenan sektor awam ini juga membawa makna bahawa penanda aras muktamad bagi kita penjawat awam ialah kepuasan hati pelanggan dan rakyat,” ujarnya.
Beliau berkata, dalam perkembangan teknologi ICT pada masa ini, kita tidak boleh lagi menggunakan jawapan- jawapan seperti “Akan dikaji”, atau “kami masih semak” atau“kami masih menunggu keputusan”.

“Sebaliknya, kepantasan kemajuan teknologi dan sistem informasi, jawapan- jawapan mestilah serta-merta. Bagi membolehkan perkhidmatan yang serta-merta atau perkhidmatan dengan segera, seseorang penjawat awam mesti mempunyai kebijaksanaan dan kebolehan untuk menjangkakan reaksi kepada setiap tindakan yang akan diambil,” katanya.





Orang ramai dijemput hadir kejohanan sukan anjuran JBSN

Oleh: Suriati Ali

Jabatan Belia dan Sukan Negeri (JBSN) akan menganjurkan Kejohanan Liga Sukan peringkat Terengganu yang akan diadakan di Kompleks Bellia dan Sukan Pasir Panjang, Kuala Terengganu pada 1 Oktober.

Orang ramai dijemput hadir memeriahkan kejohanan yang bakal mempertandingkan tiga kategori sukan, termasuk Futsal Lelaki, Futsal Wanita dan Sepak Takraw Wanita dan Sepak Takraw Lelaki.

Peserta bagi kejohanan itu terdiri daripada pasukan yang sudah mencatatkan rekod sebagai johan dan naib johan di peringkat daerah mengikut kategori yang sukan ditetapkan.

Pegawai Pembangunan dan Kemajuan Sukan Jabatan Belia dan Sukan Terengganu, Mohd Khairul Adli Abdul Hadi, berkata tujuan utama penganjuran kejohanan itu diadakan untuk memupuk semangat dan menarik penyertaan ramai di peringkat akar umbi ke arah memasyarakatkan sukan seterusnya merealisasikan konsep Malaysia Cergas, Sihat dan Bersatu.

“Selain itu, tujuan utama program ini dilaksanakan adalah untuk melatih masyarakat tempatan melaksanakan aktiviti dan membudayakan sukan, sekaligus berpeluang mempamerkan bakat,”katanya.


Petugas PTWRBNM dirai

Oleh FAUZI MOHD

Kerjasama yang diberikan semua jawatankuasa induk dan petugas-petugas menjayakan Program Tahunan Isteri Wakil-wakil Rakyat Barisan Nasional SeMalaysia (PTWRBNM) 2011 sangat dihargai.



Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Negeri Terengganu (Serikandi), To’ Puan Seri Norliza Mahmud berkata, bukan satu tugas mudah bagi menjayakan program sebegini.

Menurutnya, selepas 15 tahun, Terengganu terpilih menjadi tuan rumah bagi acara tahunan PTWRBNM yang diadakan pada 6 hingga 9 Julai lalu.

“Ini adalah kejayaan manis yang tidak dapat dilupakan, tugas yang diberikan dilakukan dengan penuh amanah. Meskipun terselit peristiwa hitam, apabila ada kalangan wakil yang mengalami keracunan makanan.



“Itu adalah di luar jangkaan kerana persiapan rapi telah dilakukan,” katanya pada Majlis Penghargaan sempena dengan PTWRBNM di Kediaman Seri Iman, semalam.

Katanya, program yang diadakan itu dapat mengukuhkan perpaduan dan semangat muhibah, dan pada masa yang sama juga mengeratkan hubungan antara ahli.

Norliza berkata, pengalaman dan juga segala teguran akan di jadikan panduan dan iktibar pada masa akan datang.

Majlis tersebut telah di rasmikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said.

Dato’ Seri Ahmad dalam ucapan perasmiannya berkata, semua pihak termasuk Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri (BAKTI), Datin Seri Rosmah Mansor memuji dan melahirkan rasa puas hati dengan program yang dianjurkan.



Beliau juga mengucapkan tahniah kepada Serikandi dengan kejayaan menjayakan acara dan juga dalam pertandingan sukan yang disertai.



Persidangan Eco Terengganu di Ri-Yaz

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri mengalu-alukan kesediaan Badan Bukan Kerajaan (Ngo) iaitu T.best dan EcoKnights mengadakan Persidangan Eco Terengganu 2011 di Ri-Yaz Heritage Marina Resort &Spa Pulau Duyong, Kuala Terengganu pada 23 hingga 24 November ini.



Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw berkata, pihak penganjur tertarik dengan potensi yang terdapat di negeri ini dalam industri hijau serta keindahan alam semula jadi yang dijaga rapi.

“Seminar yang julung kali diadakan ini dibuka kepada 100 penyertaan terdiri dari ketua-ketua jabatan serta syarikat-syarikat multinasional, bersempena dengan penganjuran kejohanan Piala Monsun tahun ini,” katanya dalam sidang media di Wisma Darul Iman petang semalam.

Katanya, kerajaan sentiasa memberi peluang pelabur luar membabitkan diri dalam membangunkan industri hijau serta melatih masyarakat mencintai alam semula jadi dengan mengadakan pelagai aktiviti.

Sementara itu, Presiden EcoKnights, Puan Yasmin Rashid berkata, projek pertama di Pantai Timur ini diharap mendapat sambutan dan mengalu-alukan penyertai daripada semua pihak untuk mengupas lebih dalam mengenai penjagaan alam sekitar.

Terdapat empat kertas kerja akan dibentangkan oleh tokoh ilmuan sepanjang dua hari seminar berlangsung antaranya dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) , Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Digi Telecommunications.


8,496 terima bantuan pendidikan YT sejak 2006

Oleh FAUZI MOHD

Seramai 8,496 pelajar di Terengganu menerima bantuan pendidikan daripada Yayasan Terengganu (YT) yang melibatkan perbelanjaan lebih RM8.4 juta sejak bantuan itu diperkenalkan pada tahun 2006.

Pemangku Pengarah nya, Zakaria Yusof berkata, tahun ini 2,156 pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Pesekolahan Malaysia (STPM) akan menerima bantuan itu yang melibatkan perbelanjaan hampir RM220,000.

"Mereka akan menerima RM1,000 seorang sebagai galakan dengan harapan mereka berusaha untuk mendapat keputusan terbaik dan cemerlang dalam peperiksaan itu," katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.


Beliau berkata Menteri Besar Dato' Seri Ahmad Said akan menyampaikan bantuan kepada pelajar-pelajar berkenaan di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, 26 September ini.

Katanya,pelajar-pelajar yang menerima bantuan itu terdiri daripada pelajar-pelajar yang tidak pernah mendapat sebarang bantuan atau apa-apa biasiswa daripada mana mana pihak.

Dalam perkembangan lain Zakaria berkata YT menaja 92 orang pelajar untuk melanjutkan pelajaran dalam pelbagai bidang ke luar negara yang melibatkan lebih RM23 juta tahun ini.

Beliau berkata daripada jumlah itu 66 orang melanjutkan pelajaran ke Rusia yang melibatkan perbelanjaan RM19 juta, United Kingdom (12) RM3 juta dan Jordan (8) RM1.4 juta.

Menurutnya selain itu YT turut menghantar 473 pelajar melanjutkan pelajaran keluar negara dalam pelbagai jurusan sejak tahun 2006 sehingga tahun ini.

Pelajar-pelajar itu digalakkan meneruskan pengajian hingga ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) bagi membantu keluarga apabila pulang ke tanah air nanti, katanya





21 September 2011

Lagi anak Terengganu layak ke pertandingan peringkat dunia

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri telah menyumbang sebanyak RM20,000 kepada Mohd Aiman Yusof, 22, yang terpilih mewakili negara ke pertandingan Worldskill ke London, United Kingdom pada 5 hingga 8 Oktober depan.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, sumbangan ini adalah untuk menampung perbelanjaan Mohd Aiman sepanjang berada di sana yang sebahagian besarnya telah dibiayai Jawatankuasa Pembangunan, Kementerian Sumber Manusia.




Mohd Aiman yang berasal dari Kampung Kuala Bekah, Kuala Terengganu adalah pelajar Diploma Seni Kulinari, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dungun dan akan bersaing dengan 1,000 peserta seluruh dunia di pertandingan itu nanti.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Mohd Aiman yang berjaya menewaskan peserta lain dari seluruh Institusi Pengajian Tinggi Awam/Swasta (IPTA/IPTS) seluruh negara dan melayakkan diri ke pertandingan berprestasi tinggi itu,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat mingguan Exco di Wisma Darul Iman hari ini.

Dalam perkembangan lain, Dato’ Seri Haji Ahmad memaklumkan kerajaan akan mengagihkan bantuan pendidikan kepada 2,145 orang pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun ini berjumlah RM2.1 juta.

Katanya, program Khatam al-Quran membabitkan pelajar Tabika Yayasan Islam Terengganu (YIT) berusia lima hingga enam tahun serta pelajar Kelas Asas Fardu Ain (Kafa) di Sekolah Kebangsaan (SK) akan diadakan pada 22 Oktober depan.

“Tahun ini seramai kira-kira 25,900 akan khatam dan daripada jumlah berkenaan 7,900 pelajar Tadika YIT dan 18,000 pelajar Kafa,” katanya.

Katanya, kerajaan negeri menyasarkan semua anak negeri ini berjaya khatam al-Quran sebelum melangkah ke sekolah menengah.





20 sekolah agama Terengganu terima peruntukan RM3.16 juta

Oleh FAUZI MOHD

Kementerian Pelajaran menyalurkan peruntukan sebanyak RM3.16 juta kepada 20 buah Sekolah Menengah Agama (SMA) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) di Terengganu.

Peruntukan kepada 14 buah SMA dan 6 buah SMKA itu antara lain mahu meningkatkan lagi tahap pencapaian pelajar di sekolah berkenaan melalui program pembangunan akademik serta menaik taraf kemudahan sokongan pembelajaran.



Agihan RM140,000 untuk setiap SMA dan RM200,000 untuk SMKA itu disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin pada majlis perjumpaan dengan guru agama, imam dan bilal di Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Terengganu di Alor Limbat, petang semalam.




Turut hadir pada majlis itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Dato’ Yahya Khatib Mohamad dan Ketua Pengarah Pelajaran, Dato’ Ghafar Abdullah.

Sekolah berkenaan termasuk SMA Sultan Zainal Abidin, SMA Mahmudiah, SMA Sultan Ismail, SMA Marang, SMKA Tok Jiring, SMKA Sheikh Abdul Malik, SMKA Kuala Abang dan SMKA Durian Guling.



Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pihaknya sedia membantu dan berkongsi kepakaran dengan kerajaan-kerajaan negeri dalam menambah baik proses pengajaran dan pembelajaran sekolah-sekolah agama seluruh negara.

Beliau berkata, kementerian sedia mengaturkan latihan kepada guru-guru termasuk bagi meningkatkan keberkesanan pengajaran Jawi, al-Quran dan Fardu Ain (jQAF).

Katanya, kerajaan pusat tidak akan meminggirkan mana-mana negeri yang tidak berkeupayaan untuk mengadakan program-program berbentuk latihan dalam usaha mengukuhkan Pendidikan Islam.

"Dalam soal Pendidikan Islam, kita tidak mengira batasan untuk memberi dan berkongsi apa yang kita ada. Contohnya, ketika saya berjumpa dengan guru-guru jQAF di Pulau Pinang baru-baru ini yang memaklumkan bahawa mereka kekurangan program latihan perguruan.

"Jadi, kita akan bantu dan sediakan kemudahan program latihan tersebut agar mereka setaraf dengan guru-guru di sekolah agama di negeri lain dan tidak akan berkompromi soal berkenaan sama ada siapa pemerintah negeri itu," katanya.

Dalam pada itu katanya, Kementerian Pelajaran akan berusaha menyelaraskan standard pengajaran 13,000 guru jQAF di seluruh negara.

Ia juga bagi meningkatkan lagi keberkesanan sistem pengajaran selain dapat memperkukuhkan subjek agama.

Muhyiddin turut meluangkan masa mengadakan sesi dialog bersama guru-guru agama, bilal dan imam yang hadir pada majlis berkenaan.