Halaman

24 October 2011

Pembangunan semula Pekan Ajil sedang rancak dijalankan

Oleh: Suriati Ali

Pembangunan semula Pekan Ajil, Hulu Terengganu yang membabitkan kos RM4.2 juta kini sedang rancak dilaksanakan dengan memasang cerucuk di bangunan empat tingkat.

Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT), Encik Talaha Ali, berkata apabila bangunan yang menempatkan 46 lot kedai itu siap kelak, ia bukan saja mampu mengubah landskap Pekan Ajil malah merancakkan lagi sosio-ekonomi masyarakat setempat.

“Pembangunan semula kawasan itu berkonsepkan indah dan bersih. Sehubungan itu, peranan komuniti setempat juga amat diperlukan dalam memastikan persekitaran Pekan Ajil kelak sentiasa indah serta bersih biarpun pemandangan demi pembangunan dijalankan.

“Antara projek yang disenaraikan di bawah pelan Pembangunan Semula Pekan Ajil, termasuk membina stesen kemudahan awam, beberapa lot perkedaian dan lot kedai buah.

“Lot gerai buah yang terletak di persimpangan Ajil Jerangau ini telah siap dibina dan dijangka perniaga yang berkaitan akan berpindah bia-bila masa,” katanya.


Puisi sumpah sang pujangga muncul juara

Oleh; Esah Abdullah

`Sumpah Sang Pujangga’ puisi karya Zuraidah Rashid dideklamasikan oleh Azahari Ibrahim muncul johan kategori terbuka pada Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Terengganu 2011.

Dengan kemenangan itu, Azahari seorang pendidik memenangi wang tunai RM1,000 beserta piala sumbangan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Dato’ Haji Abdul Rahin Mohd Said.

Tempat kedua dimenangi Asiah Hanim Mohd Tahir yang menerima RM700 dan sijil penyertaan, manakala tempat ketiga Nordin Ismail menerima RM500 dan sijil penyertaan
Manakala kategori sekolah menengah dimenangi Nurul Fitri Bukhari yang mendeklamasikan puisi `Petualang Bangsa’ karya Wardah Munirah dan menerima wang tunai RM500, piala dan sijil penyertaan.
Chua Wy Sheng (kedua) menerima RM300 dan Nor Aimi Syuhada Shaiful Bahari (ketiga) menerima RM200 melalui sajak ` Inilah Suara Bangsa’ karya Sharif Putera.

Sementara itu bagi kategori sekolah rendah Nurul Anis Adibah Zulkifle (johan) menerima wang tunai RM250, piala dan sijil diikuti Nurul Syazwina Mohd Shukri (kedua) dan Marsitah Sulaiman (ketiga).

Sayembara Deklamasi Puisi diadakan sempena sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur dengan kerjasama Persatuan Sasterawan Terengganu (Pelita).

Seramai 30 penyertaan kategori terbuka dan 78 pelajar menyertai kategori pelajar sekolah.

Hadiah-hadiah disampaikan oleh Ketua Penolong Pengarah Bahasa Melayu, Jabatan Pelajaran Negeri, Haji Che Soh Muda, Hadir sama Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu, Hajah Nor Akmal Abdul Fatah.


Teganukita 49 (Keluaran Khas)






Guru al-Quran terima tunggakan

Oleh : Amirullah Othman



Seramai 94 orang guru Yayasan Islam Terengganu (YIT) yang mengajar al-Quran di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong, menerima tunggakan elaun masing-masing dalam satu majlis di Dewan Sivik Atas Tol, kelmarin.

Pegawai Pembangunan DUN Bukit Payong, Encik Zaidi Muda dalam ucapannya mengingatkan guru-guru YIT supaya ikhlas dalam menjalankan tanggungjawab mereka mendidik anak bangsa dengan ilmu agama.

“Kerajaan Barisan Nasional amat prihatin dengan segala kesusahan rakyat tanpa mengira bulu, ini terbukti apabila semua lapisan masyarakat merasai nikmat di bawah pemerintahan BN,” katanya.

Beliau berkata, selain daripada guru al-Quran, Kerajaan Negeri Terengganu turut menaikkan elaun imam bilal dengan peruntukan yang sangat besar pada setiap tahun.

“Dalam pembentangan Bajet 2012 oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak, baru-baru ini terbukti kehebatan kerajaan pimpinan Barisan Nasional yang dapat merasai denyut nadi rakyat.

“Pelbagai subsidi yang telah diberikan oleh kerajaan untuk mengurangkan kesusahan rakyat seperti subsidi barangan minyak, beras, gula dan sebagainya,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, rakyat negara ini sepatutnya bersyukur dengan nikmat yang melimpah ruah yang diberikan oleh kerajaan yang memerintah kerana telah menjaga kebajikan mereka.

“Ini berbeza dengan rakyat negara lain yang mengalami kesusahan seperti Somalia di Afrika yang mengalami masalah kebuluran,” katanya.

Bayaran elaun yang tertunggak merupakan kenaikan yang diumumkan Menteri Besar Terengganu iaitu kenaikan sekali ganda daripada RM150 sebulan kepada RM300 sebulan, mulai awal tahun ini.

Kesemua guru Yayasan Terengganu merasa sangat gembira dan masing-masing telah mendapat bayaran tunggakan dari bulan Januari sehingga sekarang.

23 October 2011

17,000 jentera wanita digerak keseluruh negeri.

Oleh; Esah Abdullah

Pergerakan Wanita UMNO Perhubungan Terengganu melaksanakan Semarak Rakyat Siri Kedua (SRSK) dengan mengerakkan 17,000 jentera Juara Rakyat (JR) di seluruh negeri.

Ketuanya, Senator Datuk Hajah Fatimah Hamat berkata, program bermula Ogos lalu itu akan diteruskan hingga ke tarikh Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) diumumkan oleh Perdana Menteri.

“Sebenarnya, jentera Wanita sentiasa bergerak ke akar umbi dan mendampingi masyarakat tidak kira masa sama ada untuk menghadapi pilihan raya atau sebaliknya,” katanya kepada Teganukita.

Katanya, program ziarah warga emas, orang kurang upaya dan orang sakit serta sembang petang diadakan di kampung-kampung dalam usaha mengeratkan ikatan silatulrahim antara penduduk dan pemimpin parti.

“Keakraban yang terjalin memberi peluang kita menjelaskan isu berbangkit serta menyampaikan maklumat parti dan kerajaan,” katanya.

Menurutnya berdasarkan tindak balas yang diterima terutama di kawasan yang dikuasai pembangkang, BN mampu menguasai empat daripada lapan kerusi yang dimenangi Pas pada PRU12 lalu.

“Undi golongan wanita mampu menyumbang kemenangan BN dalam pilihanraya berdasarkan jumlah pengundi wanita ialah 51 peratus berbanding 49 peratus pengundi lelaki,” katanya.

Selain itu wanita berazam untuk mempertahankan semua kerusi yang dikuasai BN dan merampas semua lapan kerusi yang ada di tangan pembangkang.








Ramah mesra Menteri bersama IPD Kemaman

Oleh: Nurul Aziela Saberi



Bertempat di Dewan PDRM Bukit Mentok Chukai, Menteri Belia dan Sukan Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek bersama Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kemaman Mohd Hisham Zubir bertemu warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kemaman dalam majlis ‘Ramah Mesra Menteri Bersama IPD Kemaman’, baru-baru ini.

Pertemuan tersebut membuka ruang ke arah mewujudkan hubungan lebih erat lagi di antara PDRM Kemaman dengan Kementerian Belia dan Sukan.

Menurut YB Dato’ Seri Ahmad Shabery, orang ramai perlu menghormati dan menyanjung pengorbanan polis selama ini yang telah bertungkus-lumus menjaga keamanan negara kerana tanpa mereka, negara kita tidak akan mencapai kemajuan seperti sekarang ini.

Seramai 350 anggota polis menjaga keamanan 300,000 penduduk di Kemaman dengan penuh dedikasi tanpa mengenal erti penat dan lelah.

“Belanjawan 2012 adalah yang terbaik untuk semua lapisan masyarakat di negara kita, sebagai contoh kerajaan telah bersetuju untuk melanjutkan umur persaraan penjawat awam seperti polis daripada umur 58 tahun kepada 60 tahun.

“Perlanjutan usia tempoh persaraan ini tidak akan menjejaskan peluang pekerjaan kepada generasi muda kerana sektor awam dan swasta akan terus mewujudkan peluang pekerjaan baru.

“Justeru itu, pegawai dan anggota polis yang telah lama berkhidmat dapat meneruskan lagi bakti mereka kepada negara,” katanya.



Pada majlis itu juga, YB Dato’ Seri Ahmad Shabery menyampaikan sumbangan bantuan khas’ kepada pegawai dan anggota-anggota PDRM Kemaman yang memerlukan bantuan.

Sebanyak 142 cermin mata disumbangkan Parlimen Kemaman dan beberapa lagi bantuan lain seperti kerusi roda dan mesin rumput untuk anggota keselamatan.

Beliau turut menyumbangkan sekor lembu untuk warga PDRM Kemaman untuk dikorbankan pada Hari Raya Aidil Adha yang akan diambut tidak lama lagi.

Terengganu dan Negeri Sembilan layak ke `final’

Oleh: Suriati Ali


Terengganu dan Negeri Sembilan bakal bertemu di pentas akhir Piala Malaysia buat pertama kali, selepas menumpaskan lawan masing-masing pada pertembungan mencemaskan separuh akhir kedua, malam tadi (22 Oktober).

Kemenangan itu sudah diramalkan peminat dan penyokong bola sepak tempatan sejak tamat perlawanan separuh akhir pertama lagi, di mana kedua- dua pasukan itu selesa dengan kedudukan masing-masing.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, harapan Selangor menghidupkan kembali ‘Misi 33’ lebur, meskipun berjaya mencuri satu gol pada minit-minit terakhir untuk mengiringi Sang Penyu ke pentas akhir dengan kemenngan agregat 4-1 selepas menumpaskan Selangor 2-1.

Sementara, T-Team gagal mengikut jejak abangnya, terpaksa berputih mata menyaksikan Negeri Sembilan sekali lagi melangkah ke pentas akhir dengan agregat 6-3.

Bekas juara Piala Malaysia 2001, bakal bertemu naib juara tahun lalu pada hari penentuan 29 Oktober depan di Stadium Shah Alam, Selangor.


Penjawat awam terima bonus pada Disember ini

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan Terengganu bersetuju membayar bonus setengah bulan dan minima RM500 kepada setiap penjawat awam, termasuk agensi dan badan berkanun di bawah kerajaan negeri bermula Disember ini.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pemberiaan bonus kepada 16,000 penjawat awam itu akan melibatkan peruntukan sebanyak RM18 juta.

Katanya, kerajaan negeri menjangkakan pemberian bonus ini akan dibayar pada akhir Disember ini, iaitu sekali dengan tarikah gaji bulan berkenaan.

“Langkah itu diambil selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak pada perbentangan bajet lalu, yang memberikan bonus sama kepada kakitangan kerajaan Persekutuan.

“Bonus itu adalah bagi menghargai sumbangan serta dedikasi penjawat awam dalam memudah dan menjayakan pelaksanaan program pembangunan negeri,” katanya kepada sidang media selepas Majlis Penyampaian Komputer Riba Kepada Guru Tahun Enam, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam (22 Oktober).

Hadir sama, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman ; Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) Encik Razali Daud dan beberapa pegawai kanan kerajaan.

Seramai 2,642 guru Tahun Enam yang membabitkan peruntukan RM3.5 juta menerima komputer riba yang disampaikan sendiri Dato’ Seri Haji Ahmad.


'Kalau boleh mahu esok' - MB

Oleh FAUZI MOHD

TAJUK laporan di atas merupakan reaksi Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said apabila diminta mengulas perkembangan membaik pulih bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak masih belum disiapkan.

Menurutnya, dalam perkara itu soal masa bukan lagi menjadi faktor paling penting kerana Kerajaan Negeri dan pihak bertanggungjawab memerlukan kajian dan perincian sedalam-dalamnya.

Kata Dato' Seri Ahmad, ia bukan soal kelewatan tetapi proses itu memerlukan masa yang agak lama kerana melibatkan banyak aspek seperti teknikal dan perundangan.

"Sampai masa kita akan baiki, bukan tidak mahu. Kalau boleh mahu esok," katanya.

Beliau menjawab soalan pemberita selepas merasmikan Majlis Khatam Program Pintar Al-Quran Kanak-kanak Tadika peringkat negeri di Stadium Tertutup Kompleks Sukan di Gong Badak, Kuala Terengganu, petang semalam.

Stadium yang menjadi gelanggan utama Sukma 2008 itu runtuh pada 2 Jun 2009 dan kerja-kerja pembersihan sisa runtuhan sudah siap dijlankan.

YIT cetak 5,000 al-Quran Digital


Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said (kiri) mencuba al-Quran Digital sambil diperhatikan Pengarah YIT, Haji Md Kamaru al Amin. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Oleh FAUZI MOHD

TERENGGANU boleh berbangga apabila satu lagi teknologi baru, al-Quran Digital telah diperkenalkan Yayasan Islam Terengganu (YIT) bagi memudahkan pembacaan al-Quran di kalangan masyarakat.

Naskah itu merupakan buku elektronik yang dilengkapi 30 juzuk al-Quran di samping menggunakan teknologi skrin sesentuh selain berupaya mengeluarkan suara bagi memudahkan pengguna mendengar setiap bacaan dialunkan.

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said berkata, cetakan pertama berjumlah 5,000 naskah itu menjadikan Terengganu berjaya menambah satu lagi usaha dalam menjadikan masyarakat di negeri ini celik al-Quran.




Katanya, selain mendapat kelulusan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN), naskah yang dijual dengan harga RM330 seunit itu didatangkan dengan terjemahan al-Quran dalam bahasa Melayu dan Inggeris.

"Justeru, saya berharap masyarakat dapat mengambil peluang memanfaatkan kemudahan yang telah diperkenalkan ini agar didikan awal al-Quran dapat diterapkan dalam jiwa mereka," katanya.



Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Khatam Program Pintar Al-Quran Kanak-kanak Tadika peringkat negeri di Stadium Tertutup Kompleks Sukan di Gong Badak, Kuala Terengganu, petang semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, YB. Ahmad Razif Abdul Rahman; Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB. Khazan Che Mat dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Mazlan Ngah.



Seramai 7,930 kanak-kanak tadika di seluruh negeri menyertai program tersebut yang menggabungkan pelajar tadika empat jabatan iaitu YIT, Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Jabatan Pelajaran Negeri serta Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN).

Daripada jumlah itu, 3,525 kanak-kanak daripada Jabatan Pelajaran Negeri, KEMAS (2,375), YIT (1,780) dan JPNIN (250).

Tambah Dato' Seri Ahmad, al-Quran Digital merupakan sebuah buku elektronik yang praktikal dan mudah di bawa selain memberi kemudahan kepada pengguna belajar membaca al-Quran dengan betul.

"Ia sesuai untuk golongan cacat penglihatan dan praktikal untuk pembelajaran kelas al-Quran di peringkat sekolah," katanya yang ditemani isteri, To' Puan Seri Norliza Mahmud.



Dalam pada itu, Menteri Besar dalam ucapannya berkata, sejak dilancarkan oleh Kerajaan Negeri tahun 2006, seramai 24,445 kanak-kanak telah menerima Sijil Khatam al-Quram melalui Program Pintar al-Quran ini.

Katanya, ia merupakan pertambahan 1,684 berbanding tahun lalu dan termasuk dalam jumlah itu, 332 kanak-kanak berjaya hafaz Surah Yasin dan 176 mampu menghafaz surah itu bersama terjemahannya.

"Program itu sebahagian daripada agenda merakyatkan pembangunan seiring dengan usaha menjadikan negeri ini sebagai 'anjung ilmu' yang akan dilakukan berterusan malah akan terus ditingkatkan," ujar beliau.