Halaman

29 October 2011

Terengganu pasukan bagus, Negeri Sembilan terumbang ambing - Azraai Khor

Oleh FAUZI MOHD

JURULATIH Negeri Sembilan, Mohd.Azraai Khor Abdullah menganggap Terengganu sebagai pasukan pilihan untuk menjulang Piala Malaysia pada final malam ini, berdasarkan prestasi skuad Penyu musim ini.

Menganggap Terengganu merupakan pasukan terbaik dalam saingan Liga Malaysia, beliau berkata, rekod menjuarai Piala FA dan keupayaan muncul naib juara Liga Super, membuktikan skuad Penyu merupakan pasukan yang lebih konsisten.

"Terengganu sebuah pasukan yang bagus. Mereka merupakan juara Piala FA dan naib juara Liga Super. Ia menunjukkan mereka adalah sebuah pasukan yang mantap.

"Berbanding Negeri Sembilan, kami agak terumbang-ambing dalam saingan Liga Super dan Piala FA, namun kami tidak mahu itu dijadikan sebagai alasan bagi menghadapi Terengganu.

"Memandangkan ini merupakan perlawanan akhir, kami akan memberikan segala-galanya jika mahu menang, tiada lagi pilihan lain, " kata Azraai pada sidang media sempena perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, semalam.

Anak Adun Jertih hafaz 30 juzuk al-Quran

Oleh: Suriati Ali

Anak Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang juga Adun Jertih, Mohd Solahuddin muncul salah seorang daripada dua pelajar tingkatan lima Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kota Putera Ulul Albab yang berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran.

Anak keempat Dato' Seri Idris Jusoh itu berjaya menghafaz dalam tempoh singkat memandangkan ketika belajar di Sekolah Menengah Imtiaz Besut dari tingkatan satu hingga tiga sebelum ini, dia telah menghafaz 24 juzuk al-Quran.

Menurutnya, walaupun pelajar tingkatan empat dan lima sekarang masih belum terikat dengan program MRSM Ulul Albab yang mewajibkan pelajarnya hafaz al-Quran, tetapi disebabkan minat mendalam dia mengambil masa antara solat Maghrib hingga Isyak untuk menghafaz al-Quran.



“Selain waktu itu, saya turut menghafaz al-Quran awal pagi sebelum dan selepas solat Subuh,” katanya yang turut cemerlang dalam akademik dengan mendapat kelas pertama.

Dia ditemui selepas Majlis Graduasi ke-13 MRSM Kota Putera Ulul Albab di Dewan Ulul Albab sekolah berkenaan yang disempurnakan Adun Kota Putera Muhammad Pehimi Yusof.

Seramai 338 pelajar tingkatan tiga dan lima terlibat dalam majlis graduasi itu.

Selain dua pelajar tingkatan lima, seramai 24 pelajar tingkatan tiga dan dua pelajar tingkatan dua sekolah berasrama penuh itu berjaya hafaz 30 juzuk al-Quran.

Menurut Pengetua MRSM itu, Abdullah Abd Rahman, dua pelajar tingkatan dua berkenaan berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran hanya dalam tempoh setahun tujuh bulan hasil kesungguhan mereka selain komitmen guru terbabit.

Katanya, jadual pembelajaran sekolah ini memang ketat iaitu pelajar tingkatan satu hingga tiga mula berlatih menghafaz al-Quran seawal jam 5.30 pagi.

“Aspek pemakanan turut diberi penekanan apabila antara menu wajib di sekolah ini ialah madu, susu segar dan buah kurma,” katanya.

Sementara itu pelajar keseluruhan terbaik yang menerima anugerah khas dalam majlis graduasi itu termasuk Nurfarahiyah Che A Halim, anak Pengetua MRSM Besut yang memperoleh Timbunan Purata Nilai Gred (TPNG) 3.99.

Majlis graduasi kelmarin turut mencatat sejarah tersendiri kerana enam daripadanya merupakan anak pengetua MRSM menerima sijil masing-masing termasuk Nuffarahiyah Che A Halim.

Lima yang lain ialah masing-masing seorang anak pengetua MRSM Kota Putera sendiri, MRSM Kuala Krai, Kuala Berang, Pengkalan Hulu dan MRSM Grik serta seorang anak Pengarah Mara Kelantan.

Dua anak Muhammad Pehimi iaitu seorang tingkatan tiga dan lima turut menerima sijil masing-masing.






TIEP sedia kemudahan kelas pertama dunia

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Taman Ekuestrian Antarabangsa Terengganu (TIEP) di Lembah Bidong yang menjadi gelanggang beberapa kejohanan ekuestrian, mempunyai kemudahan untuk pertandingan tersebut kelas pertama bertaraf antarabangsa.

Sehubungan itu, Pengarah Persekutuan Ekuestrian Antarabangsa (FEI), Ian William, berkata pihaknya mencadangkan lebih banyak kejohanan bertaraf dunia diadakan di TIEP pada masa depan.

Beliau berkata, banyak negara berminat menganjurkan kejohanan ekuestrian yang bertaraf dunia, tetapi mereka tidak mampu menyediakan pelbagai kemudahan yang diperlukan.

“Terengganu memiliki kemudahan ekuestrian kelas pertama bertaraf dunia di mana ia amat jarang dimiliki negara lain.

“Trek kejohanan kuda lasak yang terdapat di TIEP mendapat pujian peserta yang menyertai beberapa kejohanan yang diadakan di sini sebelum ini,” katanya kepada Teganukita ketika ditemui di TIEP baru-baru ini.

Selain kejohanan Sultan Mizan Cup yang menjadi acara tahunan di TIEP, ia juga pernah menjadi tuan rumah kepada kejohanan FEI dua tahun lalu dan disifatkan antara tuan rumah terbaik kejohanan tersebut.

Ian William berharap pihak berkenaan mengurus TIEP dengan baik bagi memastikan ia terus menjadi antara gelanggang ekuestrian terbaik di dunia.

1,140 ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) akan terima watikah

Oleh: Mohammad Ishak


Seramai 1,140 ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jertih dan Kuala Besut akan menerima watikah perlantikan masing-masing pada 31 Oktober ini.

Pegawai Daerah Besut, Encik A Rahim jusoh berkata majlis yang akan diadakan secara berasingan itu turut disertai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan terbabit.

Katanya, majlis di Kuala Besut akan diadakan di Peabat Penyelaras DUN Kuala Besut jam 9 pagi dan akan dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr A Rahman Mokhtar yang juga ADUN Kuala Besut.

Manakala bagi DUN Jertih ia akan diadakan di Dewan Majlis Daerah Besut (MDB) Gong Kemuntong, am 2.30 petang dan akan dirasmikan oleh ADUN Jertih,Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Pengerusi MARA.

A Rahim berkata, dengan adanya watikah perlantikan itu diharap semua jawatankuasa JKKK di daerah Besut akan dapat menjalankan tugas dengan lebih bersemangat dan bertanggungjawab.

Beliau berkata, kelewatan menyampaikan watikah kepada semua jawatankuasa terbabit berlaku berpunca daripada masalah penyusunan semula jentera JKKK di seluruh negeri dalam usaha kerajaan untuk memantapkan lagi sistem pengurusan organisasi berkenaan.

Bagaimanapun, saya percaya walaupun berlaku kelewatan ia tidak menjejaskan urusan pentadbiran JKKK di kawasan masing-masing kerana Pengerusi terbabit tetap meneruskan tugas seperti diarahkan Pejabat Daerah.

"Tanggungjawab JKKK kini semakin mencabar kerana banyak rancangan kerajaan untuk pembangunan sosial memelukan kerjasama JKKK bagi menjayakan misi kerajaan," katanya.


PBSNT diarah siasat diri sendiri

Oleh FAUZI MOHD

Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) diarahkan menyiasat segera dakwaan bahawa terdapat orang dalam persatuan itu menjadi dalang menyalurkan tiket perlawanan akhir Piala Malaysia kepada ulat tiket.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, YB. Rozi Mamat berkata, tindakan tegas akan diambil jika perkara itu didapati benar-benar berlaku.

Beliau berkata, perbuatan ingin mengaut keuntungan mudah dengan menjual tiket yang telah disubsidi kerajaan negeri itu menyusahkan banyak pihak serta menimbulkan kekecohan di kalangan penyokong bola sepak.

"Saya kesal jika benar perkara ini berlaku, dan siasatan menyeluruh akan dilakukan bagi memastikan kesahihan dakwaan berkenaan, dan kita tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana individu yang terlibat,” katanya.

YB. Rozi berkata, perkara sebegitu tidak wajar berlaku kerana pengagihan turut dilakukan di seluruh 32 Dewan Undangan Negeri dan lapan Parlimen, dengan setiap kawasan diperuntukkan 500 tiket.

"Kerajaan negeri memberi subsidi sebanyak RM25 bagi tiket perlawanan akhir kepada rakyat negeri ini untuk membolehkan lebih ramai yang datang untuk menyokong dalam perlawanan akhir nanti,” katanya.



Selasa lepas, Terengganu mengumumkan pemberian subsidi sebanyak 50 peratus untuk 30,000 tiket perlawanan akhir Piala Malaysia apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menetapkan harga tiket sebanyak RM50.

Bagaimanapun, ia menimbulkan kekecohan apabila tiket berkenaan habis dalam tempoh dua jam pada hari pertama ia dijual Rabu lepas.

Bewah Man balik ke gua hujung tahun ini

Oleh FAUZI MOHD


Rangka manusia berusia 16,000 tahun yang dipercayai rangka tertua pernah ditemui di negara ini akan dikembalikan ke tapak asalnya di Gua Bewah, Tasik Kenyir tidak lama lagi.

Pengarah Muzium Terengganu, Mohd. Yusof Abdullah berkata, pihaknya sedang membuat persiapan terakhir berhubung urusan penghantaran rangka dikenali sebagai Bewah Man itu yang dijangka dilakukan pada akhir tahun ini.

Katanya, sekumpulan pakar tempatan dan ahli arkeologi kini sibuk membina satu bekas khas yang sesuai untuk menempatkan rangka manusia itu yang telah ditemui di Gua Bewah pada November tahun lalu.

“Penyelidikan ke atas rangka ini telah memasuki fasa terakhir dan selepas itu kita akan menghantarnya ke tempat ia ditemui.

“Kita juga akan pastikan rangka ini tidak diganggu dan sentiasa berada dalam keadaan baik,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Ditanya apakah jantina rangka itu, Mohd. Yusof menjelaskan, sepasukan ahli arkeologi baru-baru ini telah menemui cebisan gigi ketika melakukan cari gali di Gua Bewah dan penemuan itu diharap akan dapat membantu untuk menentukan jantina rangka berkenaan.

“Ini adalah penemuan baru bagi Bewah Man namun kita akan melakukan lebih banyak ujian sebelum dapat menentukan jantina sebenar rangka yang dianggap tertua di negara kita,” jelasnya.

Beliau menjelaskan, setiap rangka yang ditemui di kawasan itu telah dihantar kepada pakar-pakar di Amerika Syarikat untuk penyelidikan lanjut.


Hadi janji bawa pulang trofi Piala Malaysia

Abdul Hadi Yahaya berikrar tidak mahu menghampakan penyokong Terengganu yang menaruh harapan tinggi kepadanya untuk memberikan persembahan paling cemerlang pada final Piala Malaysia, Sabtu ini.



Penjaring terbanyak Liga Super dan Piala FA itu berkata, dia akan turun dengan misi untuk mencipta sejarah gemilang dan membawa pulang trofi.

Malah Hadi, yang meledakkan 25 gol musim ini juga sudah mengukir sejarah peribadi apabila bakal beraksi di pentas akhir Piala Malaysia buat kali pertama.

Hadi menegaskan, hanya persembahan terbaik bersama rakan-rakan sepasukan di Stadium Shah Alam nanti dapat menebus aksinya yang agak hambar sebelum ini.

Saya akan turun habis-habisan, Sabtu ini untuk membawa pulang Piala Malaysia ke Terengganu selepas 10 tahun.

"Saya juga mahu menebus dan memperbaiki kelemahan yang ditunjukkan dalam perlawanan lalu,'' katanya, baru-baru ini.

Mengenai prestasinya ketika menyingkirkan Selangor di separuh akhir, Hadi mengakui tertekan kerana gagal menjaringkan gol.

"Saya memang tertekan ketika itu tetapi bukan tertekan kerana penyokong atau pasukan Selangor, sebaliknya kerana gagal menjaringkan gol dalam Piala Malaysia,'' katanya.

Ditanya mengenai peluang Terengganu pada final kali ini, Hadi berkata, ia adalah 50-50, namun dia dan rakan-rakan sepasukan tetap akan berhati-hati apabila berdepan Negeri Sembilan.

Katanya, Negeri Sembilan adalah pasukan yang berbahaya kerana mempunyai ramai pemain berpengalaman antaranya Hairuddin Omar serta Sukor Adan.

"Kami tidak boleh terleka kerana ia hanya akan mengundang padah seterusnya menyebabkan Terengganu kempunan merangkul juara,'' katanya lagi.


Final Piala Malaysia : Siaran langsung di TV1

Oleh FAUZI MOHD

Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) akan menyiarkan secara langsung aksi perlawanan akhir Piala Malaysia 2011 antara Negeri Sembilan dan Terengganu, Sabtu ini.

Siaran langsung di saluran TV1 dari Stadium Shah Alam itu bermula 8.40 malam, menurut kenyataan RTM hari ini.

Perlawanan akhir Piala Malaysia tahun ini berlangsung di Stadium Shah Alam berikutan kerja-kerja penyelenggaraan di Stadium Nasional Bukit Jalil

28 October 2011

PDK Jertih akan mengadakan Hari Terbuka

Oleh: Mohammad Ishak




Kelas Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Jertih akan mengadakan Hari Terbuka yang akan berlangsung sehari di kawasan premis berkenaan di Kampung Cabang Tiga, dekat sini, pada 1 November ini.

Pengerusinya, Haji Ayub Jusoh berkata, program itu bertujuan memberi peluang pelatih Orang Kurang Upaya (OKU) yang belajar di kelas itu mempamerkan kemahiran dalam bidang masing-masing.

Katanya, sempena program itu orang ramai dan komuniti setempat berpeluang menyaksikan pelbagai acara menarik termasuk persembahan khas oleh kanak-kanak terbabit,pemeran kerja tangan oleh pelatih, dan tayangan klip video mengenai penubuhan kelas PDK berkenaan.

Menurutnya, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Terengganu, Zuhaimi Omar akan merasmikan program berkenaan.

Katanya, sempena majlis itu juga Zuhaimi akan melakukan upacara perasmian bangunan baru kelas berkenaan.

PDK Jertih ditubuhkan 15 tahun lalu pada awalnya mempunyai 8 pelatih tetapi kini meningkat kepada 40 orang hasil usaha jawatankuasa dan petugas memberi penerangan kepada ibu bapa yang mempunyai anak OKU supaya menghantar ke kelas terbabit.

Beliau berkata, kanak-kanak yang menerima latihan di PDK agak beruntung kerana mereka bukan sahaja mendapat kemahiran dan ilmu malah pelatih terbabit juga turut menerima elaun bulanan kehadiran belajar di kelas.

Katanya, hari terbuka itu juga bertujuan memberi pendedahan kepada orang ramai terutama pemimpin komuniti dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) lain mengetahui fungsi dan peranan PDK dalam menjaga kepentingan kanak-kanak OKU.



Terengganu siap sedia hadapi banjir


Oleh: Kamarudin Mat Akib

Kerajaan negeri sudah bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir, terutama berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu sejak kebelakangan ini.

Sebanyak 112 pangkalan hadapan yang diwujudkan di seluruh negeri bagi menghadapi banjir sudah bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan ketika bencana itu berlaku.

Bagi tujuan itu, pihak berkuasa menyediakan 347 pusat pemindahan banjir yang mampu menempatkan 51,700 mangsa, berbanding 48, 192 orang pada tahun lalu.

Sebanyak 98 pusat perpindahan disediakan di daerah Besut, Setiu (35), Hulu Terengganu (78), Kuala Terengganu (25), Marang (23), Dungun (52) dan Kemaman (36).

Seramai 11,082 mangsa banjir mampu ditempatkan di Besut, Setiu (2,738), Hulu Terengganu (8,640), Kuala Terengganu (7,300), Marang (4,100), Dungun (9,615) dan Kemaman (8,270).

Semua agensi kerajaan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan pejabat-pejabat daerah telah bersiap sedia menjalankan tanggungjawab masing-masing jika banjir berlaku.

Majlis Keselamatan Negeri (MKN) juga telah bersiap sedia dengan pelbagai barang keperluan mangsa banjir seperti bekalan makanan dan minuman, selimut serta lampin bayi di Depot Simpanan Keperluan Bencana di Pulau Kerengga, Marang, bagi tujuan yang sama.

Bilik gerakan banjir akan dibuka segera sebaik saja terdapat mangsa banjir yang berpindah, bagi memudahkan urusan penghantaran bekalan dan maklumat semasa mengenai banjir.

Orang ramai boleh merujuk laman sesawang, etindakan.terengganu.gov.my bagi mendapatkan maklumat tepat dan terkini berkaitan situasi bencana alam itu di Terengganu.