Halaman

04 November 2011

Program 'empower' ECER pertingkat sosio-ekonomi Kemaman

Oleh FAUZI MOHD dan NURUL AZIELLA SABERI

Majlis Pembangunan Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) telah memperluaskan program 'empower', yang melibatkan Latihan Kemahiran Akademik dan Latihan Kemahiran Keusahawanan ke Kemaman, berikutan kejayaan projek perintis di Bentong, Pahang tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Dato' Jebasingam Issace John berkata, program itu bertujuan untuk meningkatkan pencapaian akademik di kalangan para pelajar serta peluang pekerjaan dan kebolehpasaran belia dan orang dewasa.

Katanya, sejumlah 921 penduduk tempatan dari empat Dewan Undangan Negeri(DUN) di daerah itu menerima manafaat daripada program berkenaan.

"Daripada jumlah itu, 421 peserta telah mendaftar bagi kursus-kursus Latihan Kemahiran Akademik yang membantu memperbaiki prestasi keputusan peperiksaan UPSR, PMR dan SPM tahun ini.

"10 buah sekolah terlibat dalam program latihan berkenaan iaitu SK Kampung Baru Kertih, SJK (C) Kuala Kemaman, SK Kijal, SK Ayer Putih, SK Jabor, SMK Badrul Alam Shah, SMK Chukai, SMK Kijal dan SMK Ayer Putih," katanya.



Beliau berkata demikian pada majlis perasmian program itu di Dewan Sri Amar Diraja, Kemaman. Hadir merasmikan, Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ahmad Said.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia, Ahmad Razif Abd. Rahman dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato' Mohamed Awang Tera.

Tambah Dato' Jebasingam, 500 peserta terlibat dalam program Latihan Kemahiran Keusahawanan yang mengambil masa 15 bulan bermula Jun 2011 dengan tumpuan kepada penganggur, belia serta ibu tunggal di Kemaman.



Katanya, 80 peratus peserta mendapat pekerjaan daripada program itu.

"Kursus kemahiran yang sedang diajar di 'empower' Kemaman termasuk tatarias, pembuatan roti, jahitan, rekaan fesyen, dandangan rambut, pendawaian serta pemasangan paip," katanya.



Pada majlis itu, Dato' Seri Ahmad turut menyampaikan sijil penyertaan 'empower' kepada pengetua sekolah, penyedia latihan dan penyelaras program serta melawat ke pameran program itu.

















Kedai Rakyat 1 Malaysia di Terengganu semakin mendapat sambutan

Oleh: Mohammad Ishak

YB Dr A Rahman Mokhtar membayar nasi lemak ketika pelancaran kedai Menu Rakyat 1 Malaysia di Kuala Besut, semalam.


Sebanyak 127 kedai berkonsepkan Menu Rakyat 1 Malaysia sudah ditubuhkan di negeri ini sebagai menyambut seruan untuk meringankan beban perbelanjaan harian rakyat .

Daripada jumlah itu 125 buah dikendalikan bangsa Melayu manakala dua buah dimiliki Cina dan sebuah kedai diusahakan India.

Daerah Kuala Terengganu mendahului kawasan lain apabila 49 sudah diwujudkan dan diikuti Marang (27), Hulu Terengganu (23),Dungun (15), Kemaman (4) manakala Besut dan Setiu masing-masing 5.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr A Rahman Mokhtar berkata, kerajaan mengharapkan lebih banyak pengusaha kedai terutama kedai makan menyertai program berkenaan.

Katanya, pemilik kedai yang menyertaii program itu akan diberikan banting khas daripada Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) bagi mempromosikan kedai masing-amsing.

Selain itu,katanya, kementerian juga akan menyenaraikan kedai terbabit dalam portal kementerian dan degan cara ini pengusaha Kedai Rakyat 1 Malaysia secara langsung akan mendapat iklan secara percuma.

Dr A Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, berkata demikian ketika melancarkan Kedai Menu Rakyat 1 Malaysia milik Chik Nik di Kampung Nail, Kuala Besut, semalam.

“Mereka yang menyertai konsep kedai berkenaan tidak mengalami kerugian walaupun produk yang dijual dikatakan murah sebaliknya cara itu menyebabkan semakin ramai pelanggan yang datang membeli belah,” katanya.


Aturcara Penuh Karnival Inovasi & Skills Malaysia Terengganu 2011 (10 -12 November 2011)


KLIK FOTO UNTUK LIHAT ATURCARA

YPM terima peruntukan RM799 juta

Oleh; Esah Abdullah

Yayasan Pelajaran Mara (YPM) menerima peruntukan sebanyak RM799 juta di bawah Dana Pendidikan Teknikal Jepun (DPTJ) tahun ini.

Pengerusi YPM, Datuk Wira Rosli Mat Hassan berkata, dengan peruntukan baru ini YPM akan membuat pengambilan antara 80 hingga 100 orang pelajar baru setiap tahun.

“Setakat ini seramai 350 pelajar di bawah tajaan YPM yang sedang membuat PhD dan Ijazah di Universiti Jepun,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan majlis Graduasi Sekolah Menengah Sains Kuala Terengganu (SMSKT) semalam.

Hadir sama Pengetua SMSKT, Haji Hassan Awang Mat dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa Guru, Haji Mohd Omar Abdul Rahman serta 136 pelajar Tingkatan Lima yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hujung bulan ini.

Menurut Datuk Wira Rosli, mulai tahun ini program Dana Pinjaman Pengajian Tinggi YPM iaitu gabungan dana Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Jepun akan dikenali sebagai Dana Pendidikan Tinggi Jepun (DPTJ).

Sehubungan itu, katanya, Kementerian Pembangunan Luar Bandar telah bersetuju menjadikan Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) di Beranang, Selangor sebagai Pusat Pendidikan Teknikal Jepun (PPTJ).

Katanya, pelajar yang terpilih mengikuti pengajian di Jepun akan belajar selama tiga tahun di PPTJ sebelum menyambung pengajian selama dua tahun di Universiti Jepun untuk membuat Ijazah.

“YPM akan menyalurkan biasiswa berjumlah RM450,000 kepada setiap pelajar sehingga tamat pengajian mereka,” katanya.

Menurutnya, modul yang diperkenalkan di PPTJ diiktiraf oleh semua Universiti Teknikal yang terdapat di negara matahari terbit itu dan pelajar YPM dan Mara tidak menghadapi masalah perhubungan dengan pihak pengurusan di sana.




Umno Cawangan Atas Bukit Ru Rendang gotong royong bersih tali air

Oleh: Amirullah Othman

Kira-kira 100 orang penduduk Kampung Atas Bukit Ru Rendang menyertai program gotong-royong membersih tali air di kawasan Taman Ru Rendang, kelmarin.

Ketua Umno cawangan itu, Wan Kamaludin Wan Chik, berkata program berkenaan mendapat sambutan menggalakkan daripada semua peringkat lapisan masyarakat di kawasan itu.

Rentetan daripada majlis itu juga, Umno cawangan itu akan menganjurkan pertandingan memancing di tali air ini tersebut yang dipenuhi pelbagai spesies ikan seperti haruan, keli, sepat dan puyu, dalam tempoh terdekat ini.

Beliau berkaya, bagi menjayakan gotong royong itu pihaknya mendapat kerjasama Majlis Daerah Marang dan Jabatan Pengairan Negeri Terengganu, bagi memastikan tali air itu sesuai dijadikan lokasi pertandingan memancing.

Pertandingan memancing itu terbuka kepada orang ramai, khususnya penduduk di sekitar Ru Rendang.

Kenaikan harga barang tidak kena mengena dengan BN

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Penduduk tempatan tidak wajar menyalahkan Kerajaan Barisan Nasional (BN) berhubung kenaikan harga barang-barang, termasuk bekalan keperluan harian seperti ikan, ayam dan sayuran-sayuran.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB Haji Kazan Che Mat, berkata sudah menjadi tradisi pihak pembangkang menunding jari kepada kerajaan BN setiap kali berlaku kenaikan harga barang-barang.

“Malah, mereka memburuk-burukkan kerajaan dan menghasut rakyat supaya menyalahkan kerajaan dalam isu kenaikan harga barang.

“Lebih buruk lagi mereka menterjemahkan BN (Barisan Nasional) dengan Barang Naik,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Beliau berkata, rakyat perlu rasional berhubung isu tersebut kerana kenaikan harga barang-barang bergantung kepada faktor permintaan dan bekalan semasa barang-barang keperluan.

Katanya, rakyat tidak wajar membezakan harga barang dulu dengan sekarang kerana keadaan sudah jauh berubah di mana pendapatan penduduk kini semakin tinggi berbanding dengan zaman dahulu.

“Memang kita tidak menafikan harga barang sekarang ini lebih mahal berbanding masa lalu, tetapi jika diteliti rakyat masih mampu membeli pelbagai barangan keperluan walaupun harganya naik.

“Ini kerana walaupun harga barang naik, tetapi pendapatan mereka juga meningkat kerana usaha kerajaan menaikkan taraf hidup dan pendapatan rakyat,” katanya.

YB Kazan berkata, pemimpin BN bertanggungjawab menaikkan pendapatan penduduk kampung dengan cara menyediakan pelbagai kemudahan untuk mereka berbiaga dan bercucuk tanam.

“Rakyat perlu bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan yang berjaya meningkatkan taraf hidup mereka dan memberi peluang kepada generasi baru untuk mendapat pendidikan tinggi, sekaligus membantu meningkatkan ekonomi keluarga,” katanya.

Bekalan kambing mencukupi

Oleh: Suriati Ali

Bekalan kambing untuk pasaran dalam negara terutama bagi ibadah korban mencukupi walaupun pengeluaran domestik untuk haiwan itu hanya meliputi 10 peratus dalam pasaran.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Kamarul Badri Mat Ali berkata, walaupun pembekal utama kambing, Thailand kini menghadapi banjir besar, bekalan haiwan itu boleh diperoleh dari negara lain termasuk Myanmar.

"Bekalan bukanlah masalah utama bagi kita. Masalahnya ketika ini cuma dari segi pengagihan kerana sesetengah kawasan mungkin ada lebihan dan tempat lain mungkin kurang," katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Hari Inovasi LPP peringkat negeri, di Wisma Peladang, Jalan Sultan Mohamad, Kuala Terengganu, semalam (3 November).

Hadir sama Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Pengarah LPP negeri, Shamsuddin Mat Rani.

Beliau berkata, bagi meningkatkan pengeluaran tempatan, LPP menggalakkan individu atau pertubuhan mengusahakan ternakan kambing.

"Individu boleh memohon melalui Program Pertubuhan Peladang dengan bantuan sebanyak RM30,000, manakala bagi pertubuhan pula, ia dibuat menerusi Program Pengeluaran Ladang dengan bantuan sebanyak RM500,000," ujar beliau.

Dalam perkembangan lain, Shamsuddin pula mengingatkan pertubuhan dan petani membuat persiapan awal bagi menghadapi banjir dengan memastikan pengeluaran dapat dilakukan lebih awal dan ternakan dipindahkan.

Sementara itu, pada majlis tersebut, pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Gerai membolot empat anugerah utama inovasi iaitu Laporan Audit Bersih Tahun Kewangan 2010; Laporan Audit Bersih Tiga Tahun Berturut-turut; Laporan Audit Bersih Program Pemasaran Pertubuhan Peladang Jaya dan Pengurusan Kewangan Pertubuhan Peladang Kawasan Terbaik.

Sementara itu, johan Kumpulan Inovatif dan Kreatif pula disandang oleh Kumpulan Ino-Q daripada Pertubuhan Peladang negeri (PPN) Terengganu yang memenangi Anugerah Perdana, manakala Kumpulan D-Mai dari PPK Kuala Berang pula memenangi Anugerah Emas dan Kumpulan Padi dari PPK Kerandang dan O-dit cawangan audit pertubuhan (Anugerah Perak).

Dua kakitangan LPP iaitu Azha Ngah dan Zakry Ismail pula diumumkan sebagai Tokoh Inovasi 2011





Program mentor menti mampu bimbing anggota baru

Oleh: Suriati Ali

Pejawat awam di negeri ini diminta cekap membina,membentuk sikap prihatin, berketrampilan, berwibawa serta profesional dalam melaksanakan tugas supaya setiap amanah yang dipertanggungjawabkan mampu dilaksanakan dengan sempurna dan lebih berkesan.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Haji Mazlan Ngah berkata kepada mereka yang lemah perlu diberikan bimbingan sewajarnya oleh kakitangan berpengalaman atau dikenali juga sebagai mentor.

”Kakitangan berkaitan pula hendaklah bersedia untuk berubah dan belajar meningkatkan ilmu pengetahuan supaya jabatan masing-masing terus cemerlang dan berdaya saing.

”Seorang mentor perlu memiliki ciri-ciri pembimbing, mahir dan bijak membina persefahaman agar tidak wujud kelompok-kelompok di antara pegawai senior dan anggota baru,” katannya.



Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis Perasmian Sambutan Hari Inovasi Lembaga Pertubuhan Peladang peringkat Terengganu di Wisma Peladang, Jalan Sultan Mohamad, Kuala Terengganu, semalam (3 November).

Katanya, beliau berpandangan program mentor menti nyata dapat membantu anggota baru dilantik untuk memahami masalah dan keperluan dalam pembangunan diri serta kerjaya.

”Diharapkan program ini akan dapat menanamkan sifat amanah, ikhlas, jujur, dedikasi, rajin dan bertanggungjawab dalam diri anggota yang baru dilantik serta menghasilkan produktiviti kerja yang tinggi dan berkualiti.

”Mereka yang berpengalaman di dalam skim masing-masing dilantik untuk membimbing dan memberi tunjuk ajar kepada para menti,” katanya.

Menurutnya, ini merupakan satu program yang sangat berkesan bagi anggota baru supaya mampu mendalami selok belok pekerjaan dan seterusnya melahirkan rasa keakraban serta persefahaman di dalam melaksanakan tugasan.

”Setiap organisasi harus sentiasa berubah mengikut keadaan semasa supaya terus berdaya maju dan dapat bersaing dengan organisasi yang lain,” katanya.




03 November 2011

BN bersedia bila-bila masa sahaja

Oleh; Esah Abdullah

Maklum balas yang diterima daripada segenap lapisan rakyat di negeri ini meyakinkan Badan Perhubungan UMNO Terengganu akan terus kekal memerintah negeri ini selepas Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.

Pengerusinya, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, persiapan rapi telah dibuat dan bersedia pada bila-bila masa sahaja untuk mengerakkan jentera bila tarikh itu tiba.

“Setakat ini masalah dalaman yang dikaitkan dengan pemimpin UMNO negeri sudah tiada dan semua pemimpin kanan parti sudah diselesaikan melalui perbincangan,” katanya dalam sidang media di Wisma Darul Iman semalam.

Katanya, kini tumpuan adalah untuk menghadapi PRU13 dan sudah melakukan yang terbaik untuk parti dan masa depan rakyat.

Dato’ Seri Haji Ahmad melahirkan rasa yakin, BN mampu menawan beberapa kerusi yang ada di tangan pembangkang memandangkan kebangkitan suara rakyat yang sudah muak dengan janji pemimpin Pas.

“Kerajaan sudah laksanakan segalanya demi menjaga kebajikan rakyat dan apa lagi yang diperlukan mereka kerana semuanya kita telah beri,” katanya.

Menurutnya, setakat ini semua pemimpin parti tiada masalah dan bergerak seiring serta memberi komitmen penuh untuk menghadapi pilihanraya.




Besut dapat Ketua Siasatan Jenayah (KSJ) baru

Oleh: Mohammad Ishak


Kasmani (kiri) menerima serah tugas dari Rozaimi (kanan) sambil diperhatikan Noor Zainy semalam


Selepas lima bulan tidak mempunyai Ketua Siasatan Jenayah (KSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah Besut, Kampung Raja, akhirnya mendapat seorang penyandang tetap memikul tanggung jawab memerangi jenayah.

Berikutan kekosongan jawatan itu IPD Besut semalam mendapat pegawai baru, ASP Kasmani Hassan.46, sebagai KSJ baru untuk bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah itu.

Sebelum ini jawatan itu terpaksa dipangku oleh Chiff Inspektor Rozaimi Ibrahim, dalam tempoh berkenaan sebelum diisi oleh Kasmani yang sebelum ini mengetuai Bahagian Nakotik di Ibu Pejabat Polis Daerah, Batu Pahat, Johor.

Satu majlis serah dan terima tugas antara Rozaimi dan Kasmani berlangsung di Bilik Gerakan IPD Besut, Kampung Raja, sambil disaksikan oleh Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, DSP Noor Zaini Mohd Nor semalam.

Noor Zaini berkata, walapun jawatan penting itu tidak diisi dalam tempoh berkenaan namun pemangkunya dapat menjalankan tugas dengan baik dan berkesaan dalam usaha memerangi jenayah di daerah Besut.

Katanya, dengan kehadiran pegawai baru bagi mengisi kekosongan sebelum ini diharap PDRM Daerah Besut dapat meningkatkan lagi tugas dan tanggungjawab membanteras kegiatan berkenaan.

Sementara itu, Kasmani ketika ditemui pada majlis itu berazam untuk menjalankan tugas yang diamanahkan dengan berusaha bersungguh-sungguh menaikkan pasukan Polis terutama mengurangkan kadar jenayah.

“Apa yang penting, saya akan mendapat kerjasama dan sokongan bukan sahaja daripada anggota pasukan malah lebih penting penduduk daerah ini diajak sama-sama memerangi kegiatan berkenaan,” katanya.