Halaman

03 November 2011

BN bersedia bila-bila masa sahaja

Oleh; Esah Abdullah

Maklum balas yang diterima daripada segenap lapisan rakyat di negeri ini meyakinkan Badan Perhubungan UMNO Terengganu akan terus kekal memerintah negeri ini selepas Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.

Pengerusinya, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, persiapan rapi telah dibuat dan bersedia pada bila-bila masa sahaja untuk mengerakkan jentera bila tarikh itu tiba.

“Setakat ini masalah dalaman yang dikaitkan dengan pemimpin UMNO negeri sudah tiada dan semua pemimpin kanan parti sudah diselesaikan melalui perbincangan,” katanya dalam sidang media di Wisma Darul Iman semalam.

Katanya, kini tumpuan adalah untuk menghadapi PRU13 dan sudah melakukan yang terbaik untuk parti dan masa depan rakyat.

Dato’ Seri Haji Ahmad melahirkan rasa yakin, BN mampu menawan beberapa kerusi yang ada di tangan pembangkang memandangkan kebangkitan suara rakyat yang sudah muak dengan janji pemimpin Pas.

“Kerajaan sudah laksanakan segalanya demi menjaga kebajikan rakyat dan apa lagi yang diperlukan mereka kerana semuanya kita telah beri,” katanya.

Menurutnya, setakat ini semua pemimpin parti tiada masalah dan bergerak seiring serta memberi komitmen penuh untuk menghadapi pilihanraya.