Halaman

03 November 2011

142 penerima, 82 sekolah dapat AKPT 2011

Oleh FAUZI MOHD dan NURUL AZIELLA SABERI

Seramai 142 penerima dari 82 sekolah menerima 33 kategori dalam Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Terengganu (AKPT) 2011 yang disampaikan Menteri Besar, Dato' seri Ahmad Said petang semalam.



Anugerah disampaikan sempena program tiga hari Karnival Pendidikan Terengganu di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman, Kemaman.

Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Razali Daud berkata, ia bertujuan untuk memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada murid-murid yang telah mencipta kejayaan dalam bidang kurikulum dan kokurikulum di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

"Selain itu, penghargaan turut diberi kepada sekolah cemerlang dalam peperiksaan awam serta cemerlang dalam pengurusan sekolah," katanya dalam majlis perasmian itu.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia, Ahmad Razif Abdul Rahman.



Antara yang diraikan, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mengabang Telipot dan Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Panjang menerima Anugerah Pengurusan Disiplin Terbaik.

Anugerah Pengurusan Asrama Terbaik dimenangi SMK Pulau Serai, Dungun dan Anugerah Pengurusan Koperasi Terbaik berjaya digondol SMK Agama Sheikh Abdul Malek.

Bagi Anugerah Pengurusan Makmal ICT Terbaik diraih SMK Rusila, Marang dan SK Felda Jerangau Barat, Hulu Terengganu.

Sementara itu, tiga sekolah, SMK Padang Negara, Kuala Terengganu; SMK seri Berang, Hulu Terengganu dan SMK Putera Jaya, Setiu menerima Anugerah Peratus Kehadiran Murid ke Sekolah Tertinggi.



SK Tengku Mahmud, Besut dan SK Tengku Ampuan Intan, Hulu Terengganu terpilih menerima Anugerah Pelaksanaan e-Book Terbaik dalam pengajaran dan pembelajaran.

Tambah Razali, program yang sebelum ini dikenali sebagai Ekspo Pendidikan mula digerakkan ke setiap daerah mulai tahun ini dan Daerah Kemaman menjadi destinasi pertama.

"Atas usaha untuk berkongsi kecemerlangan pelajar dengan banyak peringkat masyarakat program tahunan ini diteruskan ke daerah-daerah lain tahun depan," katanya.