Halaman

30 October 2011

Warga INSPI teruja dapat gelanggang baru


Oleh: Nurul Aziella Saberi

Kerajaan negeri meluluskan peruntukan RM 87,000 bagi membina satu gelanggang serba guna di Institut Pengajian Islam (INSPI) Yayasan Islam Terengganu, di Binjai, Kemaman, untuk kemudahan warga INSPI beriadah.

Dengan adanya gelanggang itu yang akan dibina tidak lama lagi, penuntut INSPI dapat beriadah dengan lebih selesa kerana sebelum ini mereka terpaksa menggunakan gelanggang lama yang daif.

Pengetua INSPI, Ustaz Firdaus Khairi Abdul Kadir, berkata gelanggang baru itu akan dibina dan disiapkan secepat mungkin untuk kegunaan warga INSPI.

“Kita akan membina gelanggang serba guna berdekatan dengan pintu pagar masuk ke INSPI memandangkan kawasan di situ luas dan lapang.

“Seluruh warga INSPI telah lama mengharapkan satu gelanggang yang baru untuk kegunaan mereka apabila ada sebarang aktiviti riadah di luar mahupun untuk kegunaan mereka seperti bermain sukan futsal dan bola keranjang,” katanya selepas meraikan alumni INSPI yang diadakan di institut pengajian itu, baru-baru ini.

Beliau berkata, keadaan gelanggang lama terlalu menyedihkan untuk digunakan di samping kemudahan terlalu terhad.

Justeru itu, katanya, apabila gelanggang baru ini siap dibina, penuntut INSPI yang berbakat dalam aktiviti sukan boleh bergiat secara lebih aktif.