Halaman

01 November 2011

Pelajar Kafa aktif dalami ilmu al-Quran

Oleh: Suriati Ali

Lebih 80,000 pelajar Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) di seluruh negeri ini aktif mendalami ilmu al-Quran dengan dibimbing oleh 3,105 guru bertauliah.

Pengarah Yayasan Islam Terengganu (YIT), Haji Md. Kamaru Al-Amin Ismail berkata, program Kafa dijalankan di 410 premis membabitkan Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Agama Rakyat (SAR), masjid, surau dan balai raya.

“Ianya berkonsepkan pendidikan agama peringkat rendah bagi menyokong dan memperkukuhkan pendidikan Islam yang dilaksanakan di bawah sistem pendidikan kebangsaan.

“Pelajar diberi penekanan dan tumpuan kepada amali serta kemahiran membaca al-Quran mengikut tajwid dan Fardu Ain di samping kemahiran dalam penulisan dan pembacaan Jawi,” katanya.

Katanya, YIT berhasrat melaksanakan program seumpama itu di semua sekolah di Terengganu dalam usaha menyemai benih kesuburan dalam diri setiap pelajar berkaitan kepentingan serta kesucian agama Islam..

“Apa yang membanggakan kejayaan pelajar Kafa khatam al-Quran terus meningkat pada setiap tahun di mana tahun ini seramai 20,133 pelajar mampu khatam dengan baik berbanding tahun lalu berjumlah 16,929 pelajar.

“Bagi tahun depan pula, pihak kami mensasarkan seramai 30,000 pelajar mampu khatam hasil bimbangan guru yang bertauliah,” katanya.

Haji Md Kamaru Al-Amin berkata, pihaknya yakin dengan adanya program seumpama itu, setiap pelajar di Terengganu dapat khatam al-Quran sebelum memasuki sekolah menengah.