Halaman

30 October 2011

Pulau Duyong kaya warisan sejarah

Oleh: Suriati

PULAU DUYONG yang terletak di pinggir muara Sungai Terengganu, dengan jarak kira-kira 15 kilometer dari pusat Bandar Raya Kuala Terengganu, menjadi destinasi warisan yang kian popular selepas diberi `nafas baru’ oleh kerajaan negeri dengan pembinaan pelbagai prasarana.



Kewujudan lokasi penganjuran Piala Monsun, Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa dan pembinaan pangsapuri mampu milik, nyata amat membanggakan penduduk tempatan.

Tidak lengkap dengan itu, lokasi Pulau Duyong menghadap Laut Cina Selatan sememangnya terkenal dengan pelbagai bahan sejarah yang unik dan menarik.

Kota Lama Duyong antara bahan sejarah yang kekal hingga hari ini. Dibina pada tahun 1920, kota ini pada awalnya digunakan oleh individu tertentu dan kumpulan agama Islam untuk mengajar penduduk kampung membaca al-Quran.

Dipercayai bahan yang digunakan untuk membinanya termasuk madu, putih telur dan batu. Setelah musnah akibat banjir pada tahun 1986, ia dibaikpulih pada tahun 1999 tanpa mengubah struktur pembinaan.

Bangunan bersejarah itu dibina hasil cetusan idea pegawai senior di jabatan pentadbiran Terengganu iaitu Dato' Biji Sura.

Legasi dan keistimewaan Pulau Duyong tidak berhenti di situ sahaja kerana beberapa pengusaha bot dan kapal layar terkenal sepert Haji Abdullah Muda, Hassan Ali, Azlan Hasni, Muhammad Ali, Amran Ghazali, Muda Muhammad dan Nik Ridzuan Nik Mohd masih aktif memerah keringat dengan menjual hasil tangan mereka ke luar negara, termasuk Singapura, Kanada, Algeria, Australia, Amerika Syarikat, Perancis, Itali, New Zealand, United Kingdom dan Denmark.

Haji Abdullah yang menceburi bidang pembuatan kapal layar sejak tahun 1958, berkata sepanjang menceburi bidang itu puluhan bot nelayan bersaiz besar dan kecil dapat disiapkan.

Bilangan itu tidak termasuk tempahan puluhan kapal layar milik pelanggan asing, perahu kolek payang untuk Kerajaan Pusat dan kerajaan Terengganu yang bernilai antara RM800,000 hingga RM1.1 juta sebuah.

Keunikan reka bentuk berasaskan nilai warisan dan tradisional tempatan merupakan faktor utama kapal layar buatan Haji Abdullah terus mendapat perhatian penggemarnya.

Setiap kapal dan bot yang dihasilkan Haji Abdullah tanpa menggunakan paku sebaliknya menggunakan skru dan kaedah pasak kayu. Elemen itu diutamakan bagi menjamin kualitinya agar lebih tahan lama. Ia juga untuk mengelak kekaratan sehingga mengundang kebocoran pada kapal.