Halaman

02 November 2011

Juara dunia mara ke Terengganu

Oleh FAUZI MOHD

Lapan negara, tujuh bulan persaingan, satu juara dunia.

Saingan untuk memenangi Kejohanan Match Racing Dunia ISAF bagi tahun 2011 bermula di Marseille, Perancis, di mana Damien Iehl (Perancis Match Racing Team) mengalahkan pasukan negaranya Bertrand Pace (Aleph Sailing Team) di Match Race Perancis.

Perlumbaan bersambung di Langenargen, Jerman di mana Francesco Bruni (ACP/Bruni Racing) memperoleh kemenangan pertamanya dalam Siri Jelajah Dunia Match Racing selepas mengalahkan Datuk Peter Gilmour (AUS/Yanmar Racing) yang merupakan Juara Dunia empat kali di Match Race Jerman.

Namun, Bruni tewas kepada Bjorn Hansen (SWE/Mekonomen Sailing Team) dalam acara kemuncak di Gyeonggi, Korea Selatan.

Semasa Portimao Portugal Match Cup di Portugal, Bruni telah tewas kepada Ian Williams (GBR/Team GAC Pindar) yang telah memenangi acara pertamanya selepas tiga tahun.

Kemenangan Williams meneruskan corak pemenang yang berlainan pada setiap empat peringkat Siri Jelajah Dunia Match Racing 2011, menjadikannya musim yang paling hangat dipertandingkan dalam tahun-tahun kebelakangan ini.

Kemenangan Williams melonjakkan pasukannya dari kedudukan ke-10 ke tempat ketiga, pada pertengahan siri.

Di Marstrand, Sweden, Williams memperoleh kemenangan kedua berturut-turut ketika bersaing dengan Hansen dalam perlumbaan yang sengit di Stena Match Cup Sweden.

Perlumbaan diteruskan ke St Moritz, Switzerland di mana Torvar Mirsky (AUS/The Wave Muscat) telah dinobatkan juara baru selepas mengalami musim yang agak mencabar ini manakala Williams tamat di tempat ketiga untuk mara ke kedudukan pertama keseluruhan kejohanan Siri Jelajah Dunia Match Racing.

Mirsky seterusnya telah menang dalam saingan kalah mati kepada Berntsson (Swe/Berntsson Sailing Team) di Argo Group Gold Cup di Hamilton, Bermuda.

Justeru beliau menuntut kemenangan kedua berturut-turut pada Siri jelajah Match Racing 2011.

Kemenangan Bruni pada perlawanan penentu tempat ketiga telah mendekatkan lagi persaingan dengan hanya enam mata di antara Williams, Bruni dan Mirsky untuk mara ke Piala Monsun.

Turut menyertai adalah dua jemputan wildcard, Mathieu Richard (FRA/French Match Racing Team) yang dengan 69,6 mata Pmasih boleh menjuarai Kejohanan Dunia dan Phil Robertson (NZL/WAKA Racing) yang baru sahaja menandatangani perjanjian dengan Team China, pencabar rasmi untuk Piala Amerika.

Melengkapkan senarai peserta Piala Monsun 2011 adalah pemenang Kejohanan Match Racing Asia, William Tiller (NZL/Full Metal Jacket Racing) dan Juara Match Racing Malaysia, Jeremy Koo (Abdullah Chan/KRT).

Juara Dunia Match Racing ISAF 2011 akan diputuskan pada Piala Monsun, yang berlangsung dari 22 hingga 27 November ini di Ri-Yaz Heritage Marina Resort and Spa, Kuala Terengganu.