Penduduk tempatan disekitar Seberang Takir diminta tidak melepaskan peluang meningkat ekonomi keluarga masing-masing apabila kerajaan memutuskan untuk membangunkan kawasan tebing tinggi di kampung berkenaan sedang giat dilaksanakan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pendidikan Tinggi, sains, teknologi dan Sumber Manusia negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, peruntukan tambahan RM350,000 sudah diterima untuk pembangunan yang dirancang.
“Sebelum ini RM300,000 sudah dibelanjakan untuk projek sukan air nipah cruise dalam usaha menjadikannya sebagai satu tarikan pelancong di samping mengangkat semula produk nipah yang dipelopori orang-orang dahulu,” katanya.
Katanya, penggunaan daun nipah sebagai ‘rokok’ oleh generasi dahulu dikatakan mampu menjadi penawar penyakit dalaman dan ini terbukti peratus mengidap penyakit dalaman amat berkurangan berbanding sekarang.
Selain itu katanya, pihaknya merancang membina dua kiosk untuk menjual ikan dan sotong bakar serta sebuah restoran terapung untuk kemudahan pengunjung menjamu selera bersama keluarga terutama pada waktu malam dan hujung minggu.
Katanya, Seberang Takir akan menjadi tarikan baru pelancong ke negeri ini apabila usaha menaiktaraf tebing tinggi dan pembinaan kiosk ini siap tahun depan.
“Saya harap penduduk tempatan dapat mengambil peluang kemudahan yang disediakan kerajaan serta berusaha menaikkan taraf ekonomi keluarga,” katanya.