Halaman

05 November 2011

Tubuh akademi untuk lahir pemain berkualiti

Oleh: Suriati Ali

Sebuah akademi bola sepak akan ditubuhkan di Terengganu bagi melahirkan pemain berkualiti sekali gus meningkatkan mutu sukan popular itu di negara ini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat berkata, sebanyak RM1 juta diperuntukkan kerajaan negeri bagi tujuan itu.

"Nama sebenar akademi bola sepak ini akan diumumkan apabila majlis perasmiannya dibuat awal tahun depan,” katanya .

Akademi seumpamanya pernah diwujudkan di negeri ini dari 1995 hingga 2007 yang dinamakan Akademi Bolasepak FAM Terengganu dan berjaya melahirkan ramai pemain berkualiti seperti Shamsuri Mustapa, Haris Safwan Kamal, Zairo Anuar Zalani, Mohd Sharbinee Allawee, Muslim Ahmad dan Manaf Mamat.

Mengulas lanjut, Rozi berkata, akademi itu bakal diletakkan di bawah Majlis Sukan Negeri Terengganu dan di peringkat permulaan, seramai 25 hingga 30 pemain bawah umur 21 tahun akan ditempatkan di akademi berkenaan serta dibimbing oleh Che ku Marzuki Che ku Mohd Nor.

Beliau berkata, perintis akademi akan dipilih menerusi pertandingan liga bawah 21 yang akan diadakan di setiap daerah di negeri itu.