Pejawat awam di negeri ini diminta cekap membina,membentuk sikap prihatin, berketrampilan, berwibawa serta profesional dalam melaksanakan tugas supaya setiap amanah yang dipertanggungjawabkan mampu dilaksanakan dengan sempurna dan lebih berkesan.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Haji Mazlan Ngah berkata kepada mereka yang lemah perlu diberikan bimbingan sewajarnya oleh kakitangan berpengalaman atau dikenali juga sebagai mentor.
”Kakitangan berkaitan pula hendaklah bersedia untuk berubah dan belajar meningkatkan ilmu pengetahuan supaya jabatan masing-masing terus cemerlang dan berdaya saing.
”Seorang mentor perlu memiliki ciri-ciri pembimbing, mahir dan bijak membina persefahaman agar tidak wujud kelompok-kelompok di antara pegawai senior dan anggota baru,” katannya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis Perasmian Sambutan Hari Inovasi Lembaga Pertubuhan Peladang peringkat Terengganu di Wisma Peladang, Jalan Sultan Mohamad, Kuala Terengganu, semalam (3 November).
Katanya, beliau berpandangan program mentor menti nyata dapat membantu anggota baru dilantik untuk memahami masalah dan keperluan dalam pembangunan diri serta kerjaya.
”Diharapkan program ini akan dapat menanamkan sifat amanah, ikhlas, jujur, dedikasi, rajin dan bertanggungjawab dalam diri anggota yang baru dilantik serta menghasilkan produktiviti kerja yang tinggi dan berkualiti.
”Mereka yang berpengalaman di dalam skim masing-masing dilantik untuk membimbing dan memberi tunjuk ajar kepada para menti,” katanya.
Menurutnya, ini merupakan satu program yang sangat berkesan bagi anggota baru supaya mampu mendalami selok belok pekerjaan dan seterusnya melahirkan rasa keakraban serta persefahaman di dalam melaksanakan tugasan.
”Setiap organisasi harus sentiasa berubah mengikut keadaan semasa supaya terus berdaya maju dan dapat bersaing dengan organisasi yang lain,” katanya.