Halaman

06 November 2011

Kampung Yak Yah destinasi kunang-kunang

Oleh: Kamarudin Mat Akib


Kampung Yak Yah yang terletak di sebelah Taman Rekreasi Mini Zoo Bukit Takal, Kemaman, menawarkan produk pelancongan baru kepada pelancong , iaitu kunang-kunang atau kelip-kelip.

Kawasan sepanjang sungai kampung itu yang merupakan habitat kunang-kunang terbesar di Malaysia, mempamerkan panorama menakjubkan pada waktu malam dengan kehadiran puluhan ribu kunang-kunang.

Sungai Yak Yah kini menjadi tumpuan pelancong, khususnya di kalangan peminat kunang-kunang atau nama saintifiknya Panthera Tigris Jacksoni.

Mereka yang berpeluang menyusuri Sungai Yak Yah di kawasan sepanjang 13 kilometer, pasti akan terpukau dan teruja dengan keindahan kerlipan cahaya dari haiwan kecil yang mengasyikkan itu.

Sebaik saja bot dinaiki bergerak, pelancong akan terpesona apabila melihat begitu banyak kelip-kelip mengerumuni pokok-pokok Berembang, Putat dan Bebaru yang tumbuh subur sepanjang perjalanan mereka menyusuri sungai tersebut.

Dengan menaiki bot berenjin bateri tanpa gangguan bunyi, pastinya akan memberi pengalaman baru yang amat berharga kepada pengunjung, khususnya mereka yang gemar menikmati anugerah alam semulajadi.

Cuba bayangkan, puluhan ribu cahaya kunang-kunang menghiasi pokok-pokok di sepanjang sungai tersebut seolah-olah terdapat pesta lampu yang bergermerlapan di situ.

Kini Kampung Yak Yah bukan saja dilawati pelancong dari negeri-negeri lain di Malaysia, tetapi ia turut menjadi tumpuan pelancong dari Jepun, Singapura, China, Taiwan dan Hong Kong.

Beberapa pelancong dari Belanda melawat kawasan itu apabila mendapat maklumat mengenai keunikan aktiviti melihat kunang-kunang di sepanjang Sungai Yak Yah dari agen-agen pelancongan yang turut membantu mempromosi aktiviti berkenaan.

Terdapat empat spesies kunang-kunang di Sungai Yak Yah di mana haiwan kecil yang unik itu dikatakan membiak dengan begitu banyak dari bulan Julai hingga Oktober pada setiap tahun.

Keadaan ini agak berbeza dengan tempat-tempat lain di Malaysia yang juga terdapat kunang-kunang, tetapi hanya melibatkan satu spesies sahaja.

Bagi memudahkan pengunjung berkunjung ke kawasan berkenaan, terdapat dua pengusaha bot yang menyediakan perkhidmatan menyusuri Sungai Yak Yah dengan bayaran amat berpatutan.

Bagi memastikan kawasan ini menjadi tumpuan pelancong, kerajaan negeri kini mengadakan promosi dan menyediakan kemudahan asas untuk kemudahan pelawat ke kawasan berkenaan.

Bagi penduduk Kampung Yak Yah dan kawasan sekitar pula, kehadiran kunang-kunang di kawasan tersebut membawa seribu rahmat kerana ia menambah peluang pekerjaan kepada
mereka.

Datanglah berkunjung ke Sungai Yak Yah bagi mengalami sendiri pengalaman menyaksikan kelip-kelip yang amat jarang ditemui di tempat lain, kerana kunjungan anda dan keluarga ke sini pasti berbaloi.


UMT bersih tukun

Oleh:Suriati Ali

Tukun-tukun yang didamparkan di dasar perairan Seberang Takir , Kuala Terengganu tidak lagi menjadi kawasan lubuk ikan apabila hasil tangkapan nelayan di kawasan itu makin berkurangan.

Mereka mengeluh dan puncanya disebabkan pencerobohan bot pukat tunda yang mengaut hasil di situ dan pukat-pukat yang terputus menutupi tukun sehingga fungsinya sebagai pusat pembiakan terjejas.

Bagi membantu, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melalui Pusat Pembangunan Sosial Ekonomi (SCD) mengambil pendekatan untuk membersihkan tukun berkenaan baru-baru ini.

Program ‘Jom Bersih Tukun’ menggunakan kepakaran 26 penyelam dari UMT serta dibantu Jabatan Perikanan negeri, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Persatuan Nelayan kawasan dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung.

Program selama dua hari di kawasan dengan kedalaman 20 meter itu telah disempurnakan pelancarannya oleh Timbalan Naib Censelor Akademik dan Antarabangsa UMT, Prof. Dr Noor Azhar Mohamed Shazili.

Menurut Noor Azhar, empat buah bot milik UMT digunakan bagi tujuan berkenaan.

Beliau berkata, UMT mempunyai kepakaran dalam selam skuba dan kemudahan peralatan yang sudah tentu akan memudahkan aktiviti memotong dan menaikkan pukat tersebut.

‘‘Tukun-tukun di kawasan perairan berkenaan tidak dapat berfungsi dengan baik bagi tujuan pembiakan ikan apabila persekitarannya terjejas.

‘‘Nelayan di kawasan berkenaan mengalami masalah kekurangan sumber ikan dan memaksa mereka ke kawasan lebih jauh ke tengah laut untuk menangkap ikan,” ujar beliau.

Melalui program itu katanya, penyelam akan membersihkan tukun bagi memboleh ia
berfungsi semula dengan baik dan sekali gus melestarikan hidupan laut itu.

Sementara itu, Pengerusi Komuniti Pengurusan Sumber Perikanan Teluk Ketapang, Mohd Razaki Abdullah berterima kasih kepada UMT kerana menggerakkan usaha itu.

Katanya, selama ini nelayan merungut kerana hasil tangkapan mereka semakin berkurangan apabila bot pukat tunda sering menceroboh kawasan sehingga kawasan tukun bukan lagi lubuk ikan.


Harapan Terengganu jadi tuan rumah tinggal impian

Oleh: Suriati Ali

Hasrat Terengganu untuk menjadi tuan rumah kejohanan Sepak Takraw Super Series Istaf yang dijadual berlangsung Disember ini berkecai apabila Malaysia tidak dipilih sebagai tuan rumah kejohanan itu tahun ini.

Pengerusi Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSTNT), Encik Mohd Shapian Ali berkata, Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Ahmad Ismail telah memaklumkan perkara itu kepadanya.

"Saya telah terima emel daripada PSM (Ahmad) dua tiga hari lepas memaklumkan berhubung perkara itu. Kita tidak dimaklumkan di mana pula kejohanan itu akan diadakan,” katanya.



Encik Mohd Shapian yang juga Naib Presiden PSM berkata, kerajaan negeri telah memberi lampu hijau kepada PSTNT untuk menganjurkan kejohanan tersebut dan sesuatu yang menyedihkan apabila kejohanan itu tidak diadakan di Terengganu.

Mohd Shapian berkata, kejohanan super series yang dijadual Disember ini merupakan yang kedua daripada lima siri, dengan yang pertama diadakan di Bangkok, Thailand awal September lepas.






05 November 2011

Dakwaan penyelewengan : PBSNT diarah buat laporan lengkap

Oleh FAUZI MOHD

Kerajaan negeri mengarahkan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) membuat satu laporan lengkap berhubung dakwaan berlaku penyelewengan dalam persatuan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, YB. Rozi Mamat berkata, pihaknya bersedia menunggu laporan itu dan akan menilai berhubung dakwaan itu.

Bagaimanapun, setakat ini pihaknya tiada menerima maklumat berhubung perkara itu namun jika benar dakwaan yang dibuat itu siasatan lanjut akan dijalankan dan tindakan tegas perlu diambil.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan kira-kira 1,000 penyokong mengadakan demonstrasi menuntut Presiden PBSNT, Dato' Che Mat Jusoh meletak jawatan dan mahu penstrukturan semula dibuat dalam PBSNT.

Demonstrasi secara aman kira-kira 30 minit itu diadakan di luar perkarangan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, semalam.



Mereka turut mendesak agar Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said campur tangan dengan melakukan penstrukturan semula persatuan berkenaan termasuk melantik pengurusan baru demi masa depan bola sepak negeri itu.

YB. Rozi berkata, penyokong bola sepak negeri itu perlu mengikut saluran yang betul untuk meluahkan perasaan mereka dan bukan mengadakan demonstrasi.



1,000 kanak-kanak bakal terima sijil muqqadam 7 Disember

Oleh FAUZI MOHD

Majlis Penyampaian Sijil Muqqadam Kanak-Kanak Taska Permata dan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) pada 7 Disember depan bakal disempurnakan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Pengarah YPKT, Mohd Shafaruddin Mustaffa berkata, kira-kira 1,000 kanak-kanak yang berusia antara tiga dan empat tahun yang khatam muqqadam akan menerima sijil masing-masing pada majlis itu.

Beliau memberitahu, majlis yang akan diadakan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu melibatkan kanak-kanak daripada 64 taska termasuk 32 buah daripada Taska Permata dan 32 buah lagi Taska YPKT.

"Majlis penyampaian sijil itu merupakan tahun keempat dan pertama kali isteri Perdana Menteri bakal menyempurnakannya," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Majlis Kebudayaan Daerah Besut (MKDB) wakil Terengganu ke festival Gong di Kucing Sarawak

Oleh: Mohammad Ishak


Ahli MKDB mengadakan persembahan seni


Majlis Kebudayaan Daerah Besut (MKDB) terus unggul dalam persona seni dan budaya apabila dipilih Sarawak mulai 16 hingga 21 Novomber.

Yang Dipertuanya, Yusoff Kassim berkata, pihaknya bangga dengan pemilihan itu sambil menyifatkan ia satu pengiktirafan kepada MKDB yang sudah mencapai usia 32 tahun penubuhanya.

Katanya, seramai 11 pemain gong termasuk pegawai pengirim akan berada di Sarawak untuk mempersembahan permainan gong di sana.

Menurutnya, Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Terengganu akan mennggung sepenuhnya pembiayaan membawa peserta ke festival berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya kini sedang mengadakan sesi latihan khas bagi memberi persembahan terbaik pada festival bertaraf nasional itu.

Yusoff berkata, pemilihan ahli dari MKDB untuk menyertai festival itu membangkitkan semangat ahli jawatankuasa dan pemain dari badan itu yang sudah lama mempertahankan kesenian dan kebudayaan tradisional daripada pupus.

“Sebagai wakil negeri sudah tentu kami mengharapkan ia akan menaikkan nama negeri dalam permainan berkenaan sekali gus membuktikan Terengganu kaya dengan seni dan budaya yang boleh diketengahkan,” katanya.

Katanya, pertubuhan itu akan tetap memperjuangkan nasib ahli budaya di daerah itu dan akan mengekalkan permainan tradisional yang ada agar ia terus subur dan menjadi warisan seni yang bernilai.


Seksualiti Merdeka suatu penghinaan kepada negara

Oleh; Esah Abdullah

Tindakan penganjur Program Seksualiti Merdeka 2011 yang bermula semalam dan berakhir 13 November depan, mengadakan program yang di luar tabie itu disifatkan sebagai penghinaan terhadap undang-undang dan budaya bangsa negara ini.

Pengarah Strategik Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Wira Rosli Mat Hassan berkata, perkara pgogram itu boleh dianggap biasa bagi negara luar seperti Amerika, tetapi ia amat luar biasa bagi negara kita Malaysia.

“Undang-undang dan budaya yang ada di negara kita tidak boleh menerima sama sekali apa yang ingin dituntut oleh golongan yang mewakili 20 Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) itu,” katanya dalam sidang media di majlis Graduasi Sekolah Menengah Sains Kuala Terengganu.

Katanya, isu itu bukan soal Datuk S. Ambiga tetapi apa yang cuba dibangkitkan itu jelas bertentangan dengan akhlak Islam dan juga fitrah manusia.

“Saya lihat ada proses percubaan penerapan budaya baru di kalangan masyarakat dengan penganjuran program yang tidak masuk akal begini,” katanya.

Program Seksualiti Merdeka 2011 itu telah ditaja oleh Majlis Peguam dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan 20 NGO lain dengan pengisian beberapa aktiviti termasuk , bengkel, perbincanga, filem, pameran dan persembahan.

Program itu mendapat bantahan keras dari pelbagai pihak termasuk Pemuda Pas Pusat, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), penganut agama Kristian dan juga orang ramai yang mendesak pihak berwajib bertindak menghalang program itu.





Kouta rumah untuk golongan muda

Oleh: Suriati Ali

Pergerakan Pemuda UMNO menggesa kerajaan negeri menetapkan kuota 20 peratus kepada golongan muda untuk membeli rumah di bawah program Rumah Mampu Milik (RMM) di negeri ini.

Ketua Pemuda UMNO Terengganu, Encik Saiful Bahri Baharuddin berkata, soal itu perlu dipertimbangkan sebagai satu inisiatif kerajaan kepada golongan berkenaan di negeri ini yang kebanyakannya masih tidak mempunyai rumah sendiri.

Menurut beliau, kajian pihaknya mendapati ketiadaan kuota berkenaan akan menyulitkan mereka memiliki rumah kerana terikat dengan pertimbangan lain ketika proses permohonan dikemukakan.

"Selalunya, orang yang mempunyai keluarga besar atau seumpamanya diberikan keutamaan sedangkan masih ramai anak muda kita yang belum mempunyai rumah dan nasib mereka wajar dibela.

"Oleh sebab itu, saya cadangkan agar kuota 20 peratus ini dipertimbangkan kerajaan negeri bagi membolehkan golongan berkenaan lebih mudah memiliki rumah," katanya.
Untuk rekod, sebanyak 6,737 unit rumah RMM sedang dibina di seluruh Terengganu, melibatkan 23 projek pembinaan.

Kerajaan negeri merancang untuk membina 12,639 unit rumah RMM di seluruh negeri dengan ketua isi rumah yang berpendapatan tidak melebihi RM2,500 sebulan layak memohon.

Encik Saiful menjelaskan, beliau telah menerima banyak aduan daripada golongan muda yang menyatakan bahawa mereka terlalu sukar untuk mendapat kemudahan membeli rumah berkenaan.

"Masalahnya, mereka terpaksa bersaing dan sebab itulah saya katakan bahawa perlunya kuota bagi mereka," katanya.

Serentak dengan itu juga katanya, kerajaan negeri harus mempertimbangkan untuk menaikkan syarat layak memohon daripada pendapatan ketua keluarga bawah RM2,500 sebulan kepada RM3,000 sebulan.

Dalam pada itu, beliau juga mahukan kerajaan negeri melobi Kerajaan Pusat agar membangunkan Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PRIMA) yang memberi fokus kepada golongan berpendapatan sederhana di negeri ini.

"Terengganu masih mempunyai tanah yang strategik untuk dimajukan dengan projek PRIMA dan berikutan ramai rakyat yang belum memiliki rumah sendiri, maka ia wajar juga diperluaskan ke negeri ini,'' ujarnya.



DUN Bukit Payong anjur Korban Perdana


Oleh: Amirullah Othman

Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong akan menganjurkan Porgram Korban Perdana di perkarangan Tadika Paya Resak, pada 8 November ini.

Pegawai Pembangunan DUN Bukit Payong, Encik Zaidi Muda, berkata sempena program itu lapan ekor lembu akan dikorbankan melibatkan 56 bahagian.

Kira-kira 2,000 orang penduduk sekitar DUN berkenaan akan terlibat dengan program itu yang bertujuan mengeratkan silaturahim antara penduduk kawasan itu.

Sempena majlis itu, jamuan tengahari disediakan kepada penduduk kampung di mana daging korban itu akan dimasak secara gotong royong untuk hidangan.

Encik Zaidi mengambil kesempatan mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidil Adha kepada semua umat Islam di seluruh negeri, khususnya penduduk di DUN Bukit Payong.

Beliau turut menjemput mereka menghadiri jamuan rakyat pada 8 November itu, di tempat yang sama.

Tubuh akademi untuk lahir pemain berkualiti

Oleh: Suriati Ali

Sebuah akademi bola sepak akan ditubuhkan di Terengganu bagi melahirkan pemain berkualiti sekali gus meningkatkan mutu sukan popular itu di negara ini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat berkata, sebanyak RM1 juta diperuntukkan kerajaan negeri bagi tujuan itu.

"Nama sebenar akademi bola sepak ini akan diumumkan apabila majlis perasmiannya dibuat awal tahun depan,” katanya .

Akademi seumpamanya pernah diwujudkan di negeri ini dari 1995 hingga 2007 yang dinamakan Akademi Bolasepak FAM Terengganu dan berjaya melahirkan ramai pemain berkualiti seperti Shamsuri Mustapa, Haris Safwan Kamal, Zairo Anuar Zalani, Mohd Sharbinee Allawee, Muslim Ahmad dan Manaf Mamat.

Mengulas lanjut, Rozi berkata, akademi itu bakal diletakkan di bawah Majlis Sukan Negeri Terengganu dan di peringkat permulaan, seramai 25 hingga 30 pemain bawah umur 21 tahun akan ditempatkan di akademi berkenaan serta dibimbing oleh Che ku Marzuki Che ku Mohd Nor.

Beliau berkata, perintis akademi akan dipilih menerusi pertandingan liga bawah 21 yang akan diadakan di setiap daerah di negeri itu.