Halaman

06 November 2011

UMT bersih tukun

Oleh:Suriati Ali

Tukun-tukun yang didamparkan di dasar perairan Seberang Takir , Kuala Terengganu tidak lagi menjadi kawasan lubuk ikan apabila hasil tangkapan nelayan di kawasan itu makin berkurangan.

Mereka mengeluh dan puncanya disebabkan pencerobohan bot pukat tunda yang mengaut hasil di situ dan pukat-pukat yang terputus menutupi tukun sehingga fungsinya sebagai pusat pembiakan terjejas.

Bagi membantu, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melalui Pusat Pembangunan Sosial Ekonomi (SCD) mengambil pendekatan untuk membersihkan tukun berkenaan baru-baru ini.

Program ‘Jom Bersih Tukun’ menggunakan kepakaran 26 penyelam dari UMT serta dibantu Jabatan Perikanan negeri, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Persatuan Nelayan kawasan dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung.

Program selama dua hari di kawasan dengan kedalaman 20 meter itu telah disempurnakan pelancarannya oleh Timbalan Naib Censelor Akademik dan Antarabangsa UMT, Prof. Dr Noor Azhar Mohamed Shazili.

Menurut Noor Azhar, empat buah bot milik UMT digunakan bagi tujuan berkenaan.

Beliau berkata, UMT mempunyai kepakaran dalam selam skuba dan kemudahan peralatan yang sudah tentu akan memudahkan aktiviti memotong dan menaikkan pukat tersebut.

‘‘Tukun-tukun di kawasan perairan berkenaan tidak dapat berfungsi dengan baik bagi tujuan pembiakan ikan apabila persekitarannya terjejas.

‘‘Nelayan di kawasan berkenaan mengalami masalah kekurangan sumber ikan dan memaksa mereka ke kawasan lebih jauh ke tengah laut untuk menangkap ikan,” ujar beliau.

Melalui program itu katanya, penyelam akan membersihkan tukun bagi memboleh ia
berfungsi semula dengan baik dan sekali gus melestarikan hidupan laut itu.

Sementara itu, Pengerusi Komuniti Pengurusan Sumber Perikanan Teluk Ketapang, Mohd Razaki Abdullah berterima kasih kepada UMT kerana menggerakkan usaha itu.

Katanya, selama ini nelayan merungut kerana hasil tangkapan mereka semakin berkurangan apabila bot pukat tunda sering menceroboh kawasan sehingga kawasan tukun bukan lagi lubuk ikan.