Halaman

09 November 2011

Ribuan pengunjung dijangka hadir KISMT

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri dengan kerjasama Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu dan Jabatan Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu akan menganjurkan Karnival Inovasi & Skills Malaysia Terengganu (KISMT) 2011 di Pusat Dagangan Terengganu (TTC), Padang Hiliran, Kuala Terengganu.

Karnival bertemakan `Inovasi dan Kecemerlangan Kemahiran Pencetus Tranformasi itu akan diadakan selama tiga hari iaitu bermula esok (10 November) dan berakhir 12 November.

Pelbagai aktiviti menarik akan ditonjolkan bagi menarik minat ribuan pengunjung antaranya, termasuk pameran kerjaya; pertandingan inovasi dan kreativiti; bual bicara; temuduga terbuka dan klinik kerjaya; pertunjukan kreativiti sains; slot pengkongsian kerjaya dan pertandingan melukis dan mewarna.

Ribuan pengunjung terutama pelajar dan belia dijangka hadir memeriahkan program tahunan itu. Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dijangka hadir merasmikan majlis penutup pada hari terakhir program kira-kira jam 2.00 petang.