Halaman

12 November 2011

MB minta PBSNT cari pemain Import

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri mengarahkan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) mencari pemain import yang berkaliber bagi memantapkan lagi barisan pemain pasukan Terengganu.

Menteri Besar, Dato Seri Haji Ahmad Said berkata, pihaknya tidak mahu menggunakan khidmat atau mewakilkan mana-mana ejen untuk tujuan itu sebaliknya mahu PBSNT mencarinya sendiri.



“Kita tidak mengira dari negara mana, asalkan pemain import itu boleh memberi sumbangan setimpal untuk pasukan Terengganu, berdisplin dan tidak menimbulkan sebarang masalah yang tidak diingini.



“Jika sesuai dan menampilkan persembahan terbaik, kita sanggup membayarnya walaupun dalam jumlah yang agak mahal,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Rapat 1Malaysia, di Taman Awam Batu Buruk, Kuala Terengganu, semalam (11 November).



Hadir sama, Ketua Pengarah Jasa Malaysia, Dato’ Fuad Tan Sri Hassan, Pegawai Pembangunan Parlimen, Dato’ Wan Farid Wan Ahmad, Pengerusi Kelab Belia Prihatin Kuala Terengganu, Encik Badrol Hisham Zaki dan beberapa pemimpin setempat.

Lebih 15 aktiviti dianjurkan kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Terengganu bertujuan mengukuhkan hubungan rakyat bersama pemimpin setempat dan mengalakkan penduduk mengamalkan kehidupan secara sihat.



Antara aktiviti itu termasuk pertandingan yamaha motoshow, motosikal klasik, vespa tercantik, wau bulan, mewarna, dam aji, sukan rakyat, makan keropok; persembahan okestra Cina, tarian 1Malaysia, dikir barat, basikal fixie dan tarian tradisional.

Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu Terengganu merupakan negeri paling ramai menghantar senarai atlet iaitu seramai 64 orang bagi menjayakan Kejohanan Sukan Sea di Palembang dan Jakarta, Indonesia yang berlangsung selama dua hari iaitu pada 11 dan 12 November.

“Kesemua atlet yang terpilih menyertai kejohanan sukan Sea itu adalah mereka yang lahir daripada sukan Sukma dan sebahagian besar mereka masih boleh bertanding di Sukma 2012 dan 2013,” katanya.