“Masih ada agenda yang belum selesai dan kerajaan Barisan Nasional (BN) perlu dikekalkan sebagai kesinambungan untuk terus memperkasakan bidang pendidikan di negeri ini,” kata Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said.
Katanya, kerajaan akan lakukan apa saja dalam usaha mengekalkan kecemerlangan pendidikan di negeri ini yang memerlukan kerjasama guru, ibu bapa di samping pelajar sendiri perlu fokus untuk capai kejayaan.
“Oleh itu BN perlu dipertahan dan dikekalkan untuk memastikan pembangunan pendidikan terus diperkasa dan pelbagai kemudahan pembelajaran dapat disalurkan kepada anak-anak kita,” katanya.
Dato’ Seri Haji Ahmad berkata demikian di majlis Perjumpaan Bersama Pelajar Terbilang / Sasaran SPM dan STPM 2011 di Wisma Darul Iman hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman dan Pengarah Pelajaran Terengganu, Encik Razali Daud serta timbalannya, Encik Hashim Mohd Zin.
Tambahnya, pelajar cemerlang di negeri ini mendapat pengiktirafan kerajaan berupa wang tunai dan komputer riba sebagai dorongan untuk terus mencapai kejayaan lebih tinggi serta mengharumkan nama negeri.
Seramai 2,000 pelajar dari 153 buah Sekolah Menengah (SM) Kebangsaan, SM Sains, SM Agama dan SM Imtiaz seluruh negeri yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2011 hadir ke majlis berkenaan.
“Mereka merupakan pelajar yang mempunyai potensi untuk mendapat keputusan cemerlang dalam SPM / STPM dan telah mendapat A semua mata pelajaran dalam peperiksaan percubaan baru-baru ini,” katanya.
Tambahnya, tahun ini sasaran pelajar cemerlang begitu besar berbanding tahun lalu hanya 405 orang dan berharap sasaran tahun ini berjaya digapai.