Halaman

11 November 2011

YPU buka 100 buah T’Shoppe menjelang 2013

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan merancang membuka 100 buah T’Shoppe didalam dan luar Terengganu bagi tempoh 2010-2013 dengan anggaran kos RM11 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Haji Mohamed Awang Tera berkata, bagi tempoh yang sama kerajaan melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) merancang menambah bilangan perniagaan T’Kafe, T’Kraf dan T’lodge.

“Kita yakin dengan pembukaan kedai baru ini akan memberi pulangan berkesan kepada pencapaian objektif pelaksanaan program di bawah T’Brand yang menelan belanja RM10 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian di majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara YPU dan Bank Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia Berhad (SME Bank) di Wisma Darul Iman semalam.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said hadir sebagai saksi pertukaran dokumen usahasama antara YPU dan SME Bank bagi altenatif pembiayaan Program Flagship Keusahawanan (PFK) di negeri ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan, Dato’ Haji Mazlan Ngah, Setiausaha Bahagian Pengupayaan Ekonomi, Kementerian Pembangunan Luar bandar dan Wilayah (KKLW), Encik Zazali Salehudin; Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Haji Azmi Razik dan Pengarah Urusan SME Bank, Datuk Mohd Radzif Mohd Yunus.

Tambahnya,MoU ini dipersetujui atas dasar kerjasama mendapatkan pembiayaan daripada dana Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED) yang meliputi pelbagai perniagaan seperti T’Shoppe, T’Kafe, T’Kraf dan T’Lodge.

“Pembiayaan SPED ini berlandaskan konsep Syariah dengan had pembiayaan antara RM20,000 hingga RM250,000 bagi pengusaha yang beroperasi kurang dari tiga tahun manakalapengusaha yang beroperasi tiga tahun ke atas phad pembiayaan RM250,000 ke RM500,000,” katanya.

Selain itu katanya, tempoh pembayaran balik adalah antara tiga hingga lima tahun bagi pinjaman RM250,000 ke bawah dan lima hingga tujuh tahun bagi pinjaman RM250,000 ke atas.

Katanya, keistimewaan SPED ialah peminjam akan dipertimbangkan untuk pemberian geran 30 peratus dengan kadar bayaran perkhidmatan lima peratus setahun berasaskan baki pinjaman.

Katanya, melalui MoU ini juga SME Bank dan YPU bersetuju menyediakan khidmat nasihat dan perundingan kewangan serta melancarkan pelaksanaan perniagaan.