Anuar (tengah) melayani saudara baru sempena sambutan Aidiladha anjuran Perkim
Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Daerah Besut menganjurkan sambutan Aidiadha bagi meraikan saudara baru sempena hari raya haji tahun ini.
Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Daerah Besut menganjurkan sambutan Aidiadha bagi meraikan saudara baru sempena hari raya haji tahun ini.
Majlis yang berlangsung sehari di rumah Yang Dipertua Perkim, Ustaz Anuar Hassan, di Kampung Raja, Besut, bukan sahaja disertai ahli pertubuhan itu malah turut dihadiri orang ramai dan pemimpin masyarakat setempat.
Anuar berkata, pihaknya juga mengorbankan lima ekor lembu untuk dijadikan majlis jamuan kepada tetamu jemputan sempena majlis berkenaan.
Katanya, majlis sambutan yang diadakan oleh Perkim itu adalah program tahunan yang diadakan bertujuan memberi pendedahan kepada saudara baru yang memeluk agama Islam mengenai tujuan diadakan acara korban.
Menurutnya, dengan adanya program seumpama itu mereka yang baru memeluk Islam akan dapat mengetahui sambutan perayaan yang dilakukan oleh masyarakat Islam pada setiap tahun menjelang Aidiladha.
“Program ini dapat memberi pengajaran dan pendedahan kepada saudara baru dan jika mereka berkemampuan untuk melakukan ibadah korban,ia akan memudahkannya untuk berbuat demikian,” katanya.
Anuar berkata, Perkim Besut sntiasa mengambil berat dan mengutamakan ahli dengan menganjurkan pelbagai aktiviti supaya mereka tidak berasa terasing dengan masyarakat Islam lain negeri ini.