Halaman

10 November 2011

Akademi bola sepak Terengganu bakal lahirkan bintang

Oleh FAUZI MOHD

Sebuah akademi bola sepak akan diwujudkan di Terengganu bagi melahirkan lebih ramai pemain berkualiti sekali gus meningkatkan mutu sukan popular itu di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB. Rozi Mamat berkata, sebanyak RM1 juta diperuntukkan kerajaan negeri bagi tujuan itu.

“Nama sebenar akademi bola sepak ini akan diumumkan apabila majlis perasmiannya yang dibuat awal tahun depan," katanya kepada pemberita baru-baru ini

Akademi seumpama itu pernah diwujudkan di negeri ini dari 1995 hingga 2007 yang dinamakan Akademi Bola Sepak FAM Terengganu.

Ia telah berjaya melahirkan ramai pemain berkualiti seperti Shamsuri Mustapa, Haris Safwan Kamal, Zairo Anuar Zalani, Mohd Sharbinee Allawee, Muslim Ahmad dan Manaf Mamat.

Mengulas lanjut, Rozi berkata akademi itu bakal diletakkan di bawah Majlis Sukan Negeri Terengganu dan pada peringkat permulaan, seramai 25 hingga 30 pemain bawah 21 tahun akan ditempatkan di akademi berkenaan

Beliau berkata, perintis akademi itu akan dipilih menerusi pertandingan liga bawah 21 yang akan diadakan di setiap daerah di Terengganu.