Kesungguhan, komitmen tinggi dan sikap tidak jemu yang ditonjolkan guru pendidikan khas dalam mendidik kanak-kanak istimewa membuatkan golongan itu kini tidak segan berdepan dengan masyarakat normal.

Kebanyakan mereka mempunyai keyakinan tinggi untuk melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti termasuk menyertai persembahan pentas dan bergaul dengan insan normal.
Isteri Menteri Besar yang juga Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-wakil rakyat Terengganu, To Puan Seri Hajah Norliza Mahmud memberitahu insan istimewa yang ada pada hari ini cukup membanggakan semua pihak kerana mampu melakukan pelbagai perkara seperti individu normal.
”Tidak pernah terfikir golongan ini mampu berjaya dengan cemerlang dalam bidang akademik, sukan dan kokurikulum di pelbagai universiti tempatan.
”Orang ramai terutama keluarga dan Ibu bapa diminta memberi peluang serta ruang yang seluas-luasnya supaya anak-anak istimewa ini mampu berdikari dan tidak berasa tersisih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Tarian dan Ekspedisi Seni Pendidikan Khas Kebangsaan 1 Malaysia.
Pertandingan anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu dengan Kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia itu melibatkan 192 peserta dan 162 guru dan pegawai pengiring dari 16 buah negeri.

Kumpulan kanak-kanak istimewa dari Melaka dinobatkan sebagai johan pertandingan sekaligus layak membawa pulang wang tunai RM1,000 bersama sijil dan piala iringan.

“Kami mengambil masa sebulan untuk mengasah bakat masing-masing. Walaupun pada awalnya agak sukar, tetapi hasil kesabaran dan kerjasama yang ditonjolkan , ia mampu menghasilkan kejayaan membanggakan,” katanya.
