Kerajaan negeri memperuntukkan RM3.2 juta bagi melaksanakan 32 lagi program kelas maya di setiap kawasan Dewan Undanga Negeri (DUN) di Terengganu bermula tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi, Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, program itu akan melibatkan satu sekolah bagi setiap kawasan DUN yang terbabit.
Menurutnya, ia sebagai lanjutan daripada perlaksanaan program tersebut di 35 buah sekolah rendah dan tiga buah sekolah rendah pada tahun ini.
"Pemilihan sekolah untuk program ini akan dilakukan oleh wakil rakyat bagi kawasan masing-masing mulai bulan depan dan dijangka boleh dilaksanakan secara beperingkat bermula awal tahun depan," katanya.
YB Haji Ahmad Razif turut memberitahua, sebanyak 23,000 lagi e-book dijangka diagihkan kepada murid-murid Tahun Empat bermula Januari tahun depan.
"Pada masa sama, kita akan pastikan e-book ini akan mula diagihkan kepada sekolah-sekolah menengah termasuk semua sekolah Imtiaz di negeri ini," katanya.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Razif memberitahu, pihaknya merancang untuk mewujudkan satu program baru yang berteraskan Negeri Terengganu sebagai Negeri Anjung Ilmu mulai tahun depan.
Katanya, ia sebagai tempat rujukan untuk pelbagai pihak melihat serta berkongsi resepi kejayaan pendidikan di negeri ini.
"Bagaimanapun peruntukan untuk program ini masih dalam perbincangan dan kita akan bawa perkara ini kepada dewan untuk dibentangkan dalam sidang DUN bulan depan sama ada diluluskan atau tidak," katanya.