Terengganu merupakan negeri pertama yang mewujudkan kolaborasi rasmi dengan Bank Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia Berhad (SME Bank) bagi melaksanakan program khas di negeri ini.
Pengarah Urusan SME Bank, Datuk Mohd Radzif Mohd Yunus berkata, dua program yang hanya khusus untuk negeri ini adalah Dana Usahawan Negeri Terengganu (DUNT) dan Program Satu Industri Satu Daerah (SDSI) untuk songket dan batik.
“Manakala program khas lain yang dilaksanakan di sini adalah Kompleks Kilang Bank, Dana Batik dan Kraf, Tabung Usahawan Siswazah (TUS) dan Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED),” katanya di majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara SME Bank dan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) di Wisma Darul Iman.
Hadir sama, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said: Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ haji Mohamed Awang Tera; Setiausaha Kerajaan, Dato’ Haji Mazlan Ngah, Setiausaha Bahagian Pengupayaan Ekonomi, Kementerian Pembangunan Luar bandar dan Wilayah (KKLW), Encik Zazali Salehudin dan Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Haji Azmi Razik.
Katanya, SME Bank cawangan Terengganu telah mencatat rekod operasi terbaik iaitu pembiayaan 79 projek bernilai RM106.72 juta dalam Sembilan bulan pertama tahun ini.
“Pencapaian ini amat terkehadapan berbanding negeri-negeri lain dan keupayaan golongan usahawan negeri ini berwibawa dan berdaya maju telah meyakinkan pihak kami,” katanya.
Katanya, kerjasama stratejik yang berlangsung ini menjadi satu lagi tanda aras hubungan baik bank dengan kerajaan negeri dalam bidang pemabangunan keusahawanan IKS.
Sehubungan itu katanya, pihaknya telah meluluskan ‘Program Managed Lending’ atau PML di mana sebarang permohonan di bawah kerjasama ini mendapat perhatian khusus serta diberi keutamaan dari segi pemerosesan syarat dan asas pembiayaan.
“Sebagai sebuah badan keusahawanan negeri yang berwibawa, saya yakin YPU mampu melahirkan usahawan berdaya maju dan berdaya saing,” katanya.