Halaman

09 November 2011

Terengganu Quiksilver tarik 80 peluncur air sembilan negara

Oleh FAUZI MOHD

Thailand, Indonesia, Singapura, Taiwan, Filipina, Jepun, Australia, Maldives dan Malaysia.

Itu antara negara yang telah mengesahkan penyertaan kejohanan luncur air Terengganu Quiksilver Best Event 2011 yang akan diadakan di Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu bermula 2 hingga 4 Disember ini.

Seramai 80 peluncur air bakal beraksi merebut kejuaraan edisi kesembilan itu dengan tawaran hadiah keseluruhan berjumlah RM32,000.

Jurucakap kejohanan, Bryan Ng berkata, pantai itu dipilih untuk kejohanan kali ini kerana ia mempunyai ciri-ciri ombak yang sesuai untuk aksi luncur air serta mampu memberi pendedahan kepada rakyat tempatan untuk mempelajari sukan itu.

Katanya, antara acara yang bakal dipertandingkan ialah Short Board terbuka lelaki dan wanita, Master Short-board terbuka dan Body-board terbuka.

“Penyertaan masih dibuka dan peluncur air yang berminat boleh mengunjungi outlet Quiksilver terpilih atau mendaftar pada hari pertama kejohanan,” katanya.