Halaman

12 November 2011

Lebih RM600 juta belanja untuk PPR

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri telah membelanjakan lebih RM600 juta untuk Projek Perumahan Rakyat (PPR) di negeri ini dan insyaAllah mulai bulan depan PPR akan dilaksanakan di Ladang Tok Pelam, Kuala Terengganu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, projek rumah mampu milik ini akan dibina setinggi 30 tingkat bagi rumah kaediaman manakala enam tingkat dikhaskan untuk parkir kereta.

“Kerajaan ambil inisiatif membina bangunan yang tinggi untuk menjimatkan ruang bagi melaksanakan pembangunan lain,” katanya kepada pemberita selepas berkunjung ke rumah bekas ketua kampung yang juga rakan karib Allahyarham Tan Sri Ibrahim Fikri, Haji Ngah Abdullah, 90. di Kampung Banggol Pauh, Bukit Tunggal, Parlimen Kuala Nerus hari ini.

Menteri Besar diiringi Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Haji Abdul Rahin Mohd Said; Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Haji Wan Nawawi Wan Ismail dan Pegawai Pembangunan DUN Bukit Tunggal, HajiIsmail Nik dalam rangka lawatan sehari ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal bermula seawal 8 pagi dan berakhir jam 12 malam ini.

Selain itu katanya, sebanyak 1,000 unit PPR sedang dalam pembinaan di Padang Hiliran, Kuala Terengganu dan projek perumahan di Pulau Duyong akan diserahkan kepada kontraktor pada akhir tahun ini.

Tambahnya, 722 unit rumah turut dibina di Seberang Takir yang kini dalam proses penentuan kos dan harga sebenar serta masing-masing 150 unit di Pulau Redang dan Pulau Perhentian.

“Sasaran kerajaan membina 10,000 unit rumah di seluruh negeri membabitkan 32 DUN dalam tempoh lima tahun mampu dirialisasikan dengan jayanya dan sehingga ini semua tapak pembinaan dikenal pasti malah ada yang sedang dalam proses merata tapak,” katanya.

Katanya, kerajaan sentiasa berfikir dan berusaha untuk memberi yang terbaik kepada rakyat terutama golongan miskin, ibu tunggal, orang kurang upaya dan warga emas.