Pendekatan pembelajaran di Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan (SMI) Terengganu yang membudayakan al-Quran wajar dicontohi pelbagai pihak kerana anak-anak pada masa kini adalah pewaris bangsa dan bakal pemimpin ummah pada masa akan datang.
Setiausaha Kerajaan, Dato’ Haji Mazlan Ngah berkata, pembudayaan al-Quran dapat menghasilkan generasi pintar Quran serta mengembalikan kegemilangan tamadun Islam dan seterusnya merealisasikan hasrat kerajaan menjadikan Terengganu Negeri Anjung Ilmu.
“ Sistem pembelajaran yang meletakkan Al-Quran sebagai teras pembelajaran dalam mendidik pelajar supaya mampu menguasai pelbagai disiplin ilmu, bahasa dan kemahiran,” katanya di majlis Anugerah Graduasi 2011 Sekolah-sekolah Menengah Imtiaz (SMI) Yayasan Terengganu di Wisma Darul Iman hari ini.
Sehubungan itu , kerajaan turut menyumbang RM 185,000.00 kepada 185 hafiz dan hafizah sekolah menengah Imtiaz yang telah berjaya khatam menghafaz 30 juzuk al-Quran pada majlis Anugerah Hafazan yang berlangsung baru-baru ini.
Katanya, kecemerlangan pelajar di SMI yang wajar dicontohi dan berbangga sekolah ini tidak pernah ketandusan melahirkan pelajar yang cemerlang bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi juga dalam bidang al-Quran.
Tambahnya, berkat usaha gigih semua pihak, SMI Besut telah mendapat pengiktirafan sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi kategori berasrama penuh kerajaan negeri yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 22 Februari lalu.
“Pengiktirafan juga turut diterima oleh SMI Kuala Terengganu di bawah anugerah New Deal dan Cluster School,” katanya.
Tambahnya, hari ini SMI mempunyai kekuatan bersaing dipersada pendidikan sekali gus menyumbang kepada kecemerlangan pendidikan negeri.
Keadaan ini katanya, telah meletakan kepercayaan pelajar dan ibu bapa kepada sekolah berkenaan sebagai pilihan utama dan jumlah permohonan kemasukan tahun ini melebihi 2036 orang.
Sehubungan itu kerajaan akan membuka SMI di daerah Setiu dan Marang bagi menampung permintaan ibu bapa dan pelajar di daerah berkenaan.