Halaman

06 November 2011

Belia perlu lengkap diri dengan cirri-ciri pemimpin wibawa

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Golongan belia perlu melengkapkan diri mereka dengan ciri-ciri pemimpin berwibawa dan unggul bagi memastikan generasi kepimpinan negara pada masa akan datang terus dipandang mulia dan dihormati semua pihak, khususnya di kalangan negara-negara luar.

Pengerusi Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT), Encik Yusof Mat Ali, berkata golongan belia merupakan kumpulan dalam masyarakat yang sangat penting dan menjadi ‘aset negara’ kerana mereka adalah ‘generasi pewaris bangsa’ yang akan menggantikan kepimpinan sedia ada pada masa depan.

“Jika barisan belia kuat, nescaya generasi kepimpinan negara pada masa akan datang, menjadi kuat. Sebaliknya jika barisan pelapis ini lemah dan tidak bermaya, negara di masa depan juga akan lemah dan memudahkan kita diserang oleh musuh dari segenap sudut,” katanya.

Beliau turut menyeru golongan belia supaya merebut peluang yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Terengganu yang sangat menitikberatkan kebajikan mereka.

“Boleh dikatakan pada setiap masa begitu banyak peluang terhidang kepada golongan belia untuk memajukan diri mereka dalam semua aspek kehidupan, khususnya di bidang pendidikan dan latihan kemahiran,” katanya.

Encik Yusof berkata, para belia bukan saja diberi peluang menimba ilmu dalam pelbagai bidang kemahiran, tetapi mereka juga diberi bantuan kewangan bagi melaksanakan projek tertentu mengikut minat masing-masing.

Beliau turut meminta para belia supaya menabur bakti dan jasa kepada masyarakat dalam apa jua lapangan sesuai dengan nilai-nilai murni yang telah diterapkan dalam kehidupan kita di negeri dan negara yang aman harmoni ini.