Halaman

  • 8 FEBRUARI 2020 (SABTU) - *5.00 petang :* Perlawanan TNB Malaysia Hockey League 2020 antara Terengganu Ladies Hockey Team (TLHT) dengan Hockademy KL *di Stadium Hoki Batu Buruk (SHB...
    3 weeks ago

08 November 2011

Kursus kahwin percuma

Oleh: Suriati Ali

Keghairahan pihak tertentu menganjurkan program mempromosi seks bebas, Seksualiti Merdeka 2011 mendorong Penyelaras UMNO Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir mengambil inisiatif mengadakan kursus pra perkahwinan secara percuma kepada remaja.

Program yang disertai seramai 140 pemuda dan wanita berusia antara 19 hingga 47 tahun sekitar DUN berkenaan itu dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

Menurut Penyelaras UMNO DUN Manir, Encik Yusof Awang Hitam, program tersebut pertama kali diadakan di peringkat DUN untuk membantu meringankan beban peserta.

Beliau tidak menafikan pihaknya berasa terpanggil bagi menjayakan program itu berikutan tindakan pihak tertentu yang jelas cuba mencabar undang-undang negara dengan menganjurkan program Seksualiti Merdeka 2011 sehingga mengundang bantahan banyak pihak.

"Kita bimbang dengan masa depan anak-anak muda apatah lagi ketika ini wujud usaha pihak tidak bertanggungjawab cuba menyerapkan budaya songsang dengan mengiktiraf aktiviti seks bebas.

"Bagi tujuan itu, kita rasa bertanggungjawab untuk menyelamatkan golongan muda dengan memberi galakan kepada mereka menyertai kursus pra perkahwinan secara percuma seperti ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis penutup kursus tersebut yang berlangsung selama dua hari di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Belara, Manir dekat sini semalam.

Yusof berkata, pihaknya bercadang meneruskan program seumpama itu pada masa akan datang jika mendapat sambutan orang ramai khususnya remaja.