Halaman

11 November 2011

Program sukaneka Cawangan Geliga Pantai Kemaman meriah


Oleh: Nurul Aziela Saberi

Hujan renyai pada pagi itu tidak mematahkan semangat orang ramai untuk turun ke pantai bagi sama-sama memeriahkan dan menyertai sukaneka yang dipertandingkan sempena sukaneka Cawangan geliga Pantai Kemaman, baru-baru ini.

Permainan sukan rakyat seperti bermain catur, lari dalam guni, gelek tayar, kukur kelapa, pikul pasir pantai dalam guni dan tarik tali mendapat sambutan baik, walaupun dalam keadaan cuaca yang kurang baik.

Menurut salah seorang peserta Mohd Roslan Mamat 25, yang memenangi pertandingan tempat pertama gelek tayar berkata aktiviti seperti itu memang dinanti-nanti oleh orang ramai terutama remaja seperti beliau yang amat meminati sukan rakyat.

“Aktiviti sukaneka yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) Geliga Pantai seperti ini telah menjadi acara tahunan warga Geliga Pantai. Sehubungan itu, remaja seharusnya bersyukur dengan kerajaan yang ada sekarang kerana pihak begitu prihatin dengan minat orang muda kini.,” katanya.

Nafisah Jaafar 47, begitu gembira dengan sambutan yang diadakan seperti ini kerana dapat merapatkan hubungan antara penduduk kampung terutama golongan belia dengan orang kampung.

“Aktiviti seperti ini dapat mewujudkan semangat kerjasama dan perpaduan antara para peserta dalam satu-satu kumpulan tersebut,” katanya.

Orang ramai juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah melalui cabutan bertuah. Antara hadiah yang dimenangi seperti basikal, oven, kipas, pinggan mangkuk, dan pelbagai lagi barangan yang cukup menarik.

Pertandingan karaoke juga mendapat sambutan yang baik daripada semua lapisan umur tidak kira tua dan muda. Keadaan itu menjadikan suasana lebih meriah dengan pelbagai aksi peserta yang mencuit perasaan.