Halaman

25 November 2011

Lapan bidang untuk basmi kemiskinan

Oleh: Suriati Ali



Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) mengambil pendekatan membasmi kemiskinan tegar di kalangan penduduk Terengganu melalui lapan bidang utama di mana boleh menambah baik ekonomi keluarga.

Bidang itu adalah kemahiran, Kraftangan, ternakan, perikanan, perkhidmatan barangan, perniagaan makanan, perniagaan dan pertukangan.

Pengarah YPKT, Encik Mohd Shafaruddin Mustaffa, berkata daripada lapan bidang itu, perkhidmatan barangan paling ramai peserta, membabitkan 1,056 orang; diikuti perniagaan makanan (801); kemahiran jahitan dan sulaman (706); ternakan (207); pertukangan (198); pertanian (94); perikanan (37) dan kraftangan (8).




Katanya, antara objektif YPKT membantu meningkatkan pendapatan golongan miskin menerusi penyediaan peluang meningkatkan ekonomi golongan sasar adalah mengalakkan raakyat miskin menyertai program Pembangunan Diri, memberi suntikan minda kepada golongan sasar ke arah mencapai kejayaan, membangkitkan kesedaran dan keupayaan diri sendiri untuk keluar daripada kepompong kemiskinan.

“Yang pasti YPKT memantau setiap bulan terhadap peserta dan menilai laporan kemajuan di samping mereka perlu mengikuti kursus perubahan minda dan motivasi diri dari masa ke semasa sehingga Berjaya mengeluarkan mereka daripada garis kemiskinan menerusi projek yang dilaksanakan,” katanya.




24 November 2011

Terengganu pilih pemain import mantap Skuad Penyu


Terengganu kini sedang rancak memilih pemain import bagi membantu Pasukan Penyu menghadapi kejohanan Liga Malaysia tahun depan.

Sehingga ini, dua pemain dari Rusia telah menjalalani ujian kecergasan manakala seorang lagi pemain import dari Ghana akan diuji dalam tempoh terdekat ini.

Naib Yang Dipertua Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu, Sheikh Tajudin Yusof, berkata pihaknya akan menguji lebih ramai pemain asing, termasuk dari Brazil, Nigeria dan Argentina dalam usaha memilih pemain terbaik bagi memantapkan Skuad Penyu.

“Kita juga akan menguji pemain dari beberapa negara lain yang turut menunjukkan minat untuk menyertai pasukan Terengganu musim depan,” ujar beliau.

Beliau berkata, ujian terhadap pemain import dijalankan di padang bola Sekolah Menengah Sultan Sulaiman, Batu Buruk.

Menurut beliau, PBSNT tidak akan terburu-buru membuat pemilihan pemain import kerana pihaknya mahu pemain benar-benar berkualiti dan mampu memantapkan Skuad Penyu bagi membolehkan pasukan itu menang lebih banyak piala musim depan.

Terengganu muncul juara Piala FA 2011 serta menjadi naib juara Piala Malaysia dan naib juara Liga Super.

"Kita akan tengok dulu kebolehan mereka sebelum membuat pemilihan kerana ada pemain yang gagal memenuhi kriteria yang ditetapkan," katanya.

Sheikh Tajudin berkata pemain import yang terpilih akan turut bermain untuk Terengganu pada kejohanan Liga Juara-Juara AFC tahun depan.

Sebagai juara Piala FA 2011, Terengganu layak untuk beraksi pada kejohanan tersebut.




Kolej Teknologi Bestari kini Universiti College Bestari


Oleh; Esah Abdullah

Kolej Teknologi Bestari (KTB) di Setiu kini dinaikkan taraf kepada sebuah universiti dan dikenali sebagai Universiti College Bestari (UCB) setelah menerima surat kelulusan daripada Kementerian Pengajian Tinggi pada awal bulan lalu.

Pengerusi Lembaga Pengarah UCB, Dato’ Dr Tengku Mahmud Mansor berkata, usaha untuk menaikkan taraf KTB yang beroperasi pada tahun 1998 telah lama diusahakan.

Katanya, dengan kelulusan itu, UCB akan membuka beberapa pusat pengajian di lima negeri melibatkan di Kuala Terengganu, Kuala Lumpur, Kota Bharu dan Kedah pada tahun depan.

``Kita juga merancang untuk membuka sekurang-kurangnya sebuah pusat pengajian di setiap negeri termasuk Sabah untuk memberi peluang lebih ramai pelajar mengikuti kursus-kursus yang ditawarkan,’’ katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis penutup Kursus Pelapis Imam & Bilal, Warden & Penyelia Asrama Dan Pengurusan Dewan Makan & Penyediaan Makanan Asrama Gabungan Peyatim di Asrama Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Terengganu (Perkaya) Pulau Kerengga, Marang semalam.

Sehubungan itu, UCB akan menambah kursus-kursus pengajian diperingkat ijazah, ijazah lanjutan dan doktor falsafah serta pengambilan pelajar juga akan ditingkatkan kepada 2,000 orang pada pengambilan sesi tahun depan.

Tambahnya, pada masa ini kira-kira 1,500 pelajar sedang mengikuti sembilan program pengajian antaranya Diploma Pengurusan Perniagaan, Diploma Pengajian Teknologi Maklumat dan Diploma Keusahawan,

Selain itu turut mengadakan kerjasama dengan beberapa universiti termasuk Universiti Putra Malaysia, Universiti Utara Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Teknologi Mara dan Universiti Kebangsaan Malaysia.




Peyatim anjur kursus pelapis imam

Oleh; Esah Abdullah

Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia (Peyatim) mengambil inisiatif menganjurkan kursus pelapis Imam & Bilal, Warden & Penyelia Asrama, Pengurusan Dewan Makan & Penyediaan Makanan Asrama Gabungan Peyatim bertempat di Asrama Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Terengganu (Perkaya) Pulau Kerengga, Marang.

Seramai 169 peserta yang mewakili pelbagai pertubuhan anak yatim di bawah gabungan Peryatim di seluruh negara menyertai kursus tersebut yang bermula 20 November lalu dan berakhir semalam.

Presiden Peyatim, Dato’ Dr Tengku Mahmud Mansor berkata, program ini dijalankan mengambil sempena cuti sekolah dan peserta terlibat terdiri dari pelajar dan kakitangan asrama Peyatim.

Beberapa penceramah undangan dijemput termasuklah mantan Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Dato’ Shaikh Harun Ismail mengendalikan kuliah subuh serta mengupas konsep solat berjemaah, bacaan surah, azan, iqamah,doa dan wirid.

Peserta kursus turut dibawa ketempat bersejarah di negeri seperti Muzium Negeri di Bukit Losong, Taman Tamadun Islam (TTI) Pulau Wan Man dan Pasar Besar Kedai Payang.

Sehubungan itu, Peyatim juga menyasarkan 600 pelajar tingkatan empat mengikuti kursus meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, sains dan matematik di luar waktu sekolah,” katanya.





Belia Terengganu bakal serta kembara

Oleh: Suriati Ali

Lebih 100 belia yang meminati sukan berbasikal di negeri ini akan menyertai program Kembara Maal Hijrah anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (Jheat) di sekitar Kuala Terengganu, pada 26 November ini (Sabtu).

Program pelepasan akan dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat di perkarangan Komplek Seri Iman, Kuala Terengganu kira-kira jam 3.30 petang.

Setiap peserta program mula mendaftarkan nama di perkarangan kompleks itu sebelum memulakan kembara ke beberapa lokasi yang ditentukan penganjur.
Antara kawasan yang terlibat adalah laluan Kuala Ibai, Jalan Sultan Omar, Jalan Ladang dan Gong Kapas.

Destinasi terakhir adalah di lokasi Sambutan Ambang Maal Hijrah iaitu di Masjid al-Taqwa Durian Burung.

Timbalan Pesuruhjaya (Khidmat Pengurusan) Jheat, Haji Mat Arsad Mohamed, berkata, pelbagai aktiviti positif diselitkan di samping mereka berbasikal termasuk berkongsi pengalaman serta bertukar pendapat bersama pelumba basikal profesional Terengganu, motivasi diri dan solat berjemaah.

Katanya, Jheat memilih program seumpama ini kerana menyedari golongan belia dan remaja di Terengganu kini mula mengemari aktiviti berbasikal sama ada pada waktu siang atau malam.

“Apa yang dilaksanakan ini, bukan saja mampu mengelak pelbagai aktiviti kurang sihat, termasuk melepak dan merempit malah memberi kesihatan yang sempurna kepada anggota badan,” katanya.


Wanita negeri hantar 40 perwakilan ke PWTC

Oleh; Esah Abdullah

Pergerakan Wanita UMNO Perhubungan Terengganu menghantar 40 orang perwakilan daripada pergerakan itu ke Perhimpunan Agung UMNO Malaysia di Pusat Dagangan Putra (PWTC) Kuala Lumpur yang bermula minggu depan.

Ketuanya, Datuk Hajah Fatimah Hamat berkata, setiap bahagian diwakili lima orang perwakilan wanita terdiri Ketua, Naib dan Setiausaha yang secara automatik menjadi perwakilan serta dua ahli yang dipilih melalui Mesyuarat Perwakilan bahagian-bahagian.

Naib Presiden UMNO Malaysia Tan Sri Muhyiddin Mohd Yasin dijangka merasmikan Persidangan Wanita,Pemuda dan Puteri secara serentak pada 29 November jam 9 malam.

“Pegerakkan Wanita negeri akan membahaskan ucapan dasar Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia dalam isu politik dan ekonomi yang berlangsung pada 30 November ini,” katanya kepada Teganu.

Katanya, wanita memilih wakil berucap mengikut bahagian secara bergilir dan tahun ini wakil dari bahagian Kuala Terengganu Puan Rozalina Mokhtar akan membahas ucapan dasar ketua pergerakan.

Turut menyemarakkan perhimpunan adalah kehadiran ketua wanita cawangan-cawangan melalui peruntukan wakil rakyat masing-masing.




Pintu gerbang Ketengah indahkan Bandaraya Warisan Pesisir Air


Pintu gerbang Ketengah di Jalan Sultan Ismail di tengah-tengah bandar Kuala Terengganu kini bercahaya selepas majlis Penyalaan Lampu Pintu Gerbang itu dilakukan oleh Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Oleh: Suriati Ali

Sekitar kawasan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) kini semakin berseri dan bercahaya apabila Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) menaja pintu gerbang berunsur tradisional dan moden.

Pintu gerbang bernilai kira-kira RM500,00 yang ditempatkan di Jalan Sultan Ismail itu mendapat pujian pelbagai pihak, terutama pengguna jalan raya kerana ia memaparkan keunikan tersendiri.

Pengurus Besar Ketengah, Encik Wan Mat Amin Wan Daud, berkata sepasang keris yang dijadikan asas pintu gerbang itu melambangkan keutuhan dan ketuanan bangsa Melayu di negeri Terengganu.

“Di bahagian tengah pintu gerbang pula terdapat susunan lima bilah logam berwarna emas dan perak secara berselang seli yang melengkung ke bawah melambangkan rukun Islam sebagai asas kehidupan beragama.



“Melintanginya pula terdapat susunan enam bilah logam berwarna emas dan perak yang melengkung ke atas melambangkan Rukun Iman. Kedua-dua unsur ini menjelaskan kedudukan agama Islam di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas mengiringi Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said menyempurnakan Gimik Penyalaan Lampu Pintu Gerbang Ketengah, malam tadi (23 November).

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, Datuk Bandar MBKT, Dato’ Haji Adzlan Dagang dan beberapa pegawai kanan kerajaan negeri.

Encik Wan Mat Amin turut memberitahu bahagian ‘beam’ pula terdapat kerawang berukir yang menunjukkan kesenian yang tinggi dalam seni ukiran negeri.



“Papan elektronik berukuran 20 kaki panjang dipasang di bahagian tengah ‘beam’ untuk menyalurkan maklumat program kerajaan negeri dan aktiviti Ketengah.

“Di tengah-tengah bilah logam di bahagian puncak pula tersemat kata-kata `Negeri Terengganu - Bumi Bertuah Darul Iman’ dan logo Ketengah sebagai penaja pintu gerbang pada bahagian leher keris,” katanya.


Mangsa banjir meningkat, MB turun padang

Oleh FAUZI MOHD


Jumlah mangsa banjir di empat daerah di Terengganu terus meningkat kepada 2,529 mangsa daripada 642 keluarga dan dipindahkan ke 40 pusat pemindahan sehingga pukul 12 tengah malam tadi.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara Terengganu berkata, dua mangsa banjir pertama dari Daerah Marang telah ditempatkan di Dewan Orang Ramai Kampung Temala.

Daripada jumlah itu, Daerah Setiu paling teruk terjejas dengan 1,510 mangsa banjir dari 392 keluarga diikuti Besut seramai 801 dengan 190 keluarga dan Hulu Terengganu berjumlah 211 orang daripada 59 keluarga.



Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said dalam lawatannya semalam ke pusat-pusat pemindahan telibat menasihatkan penduduk di semua daerah yang terlibat dengan banjir dinasihatkan mematuhi arahan pihak berkuasa jika diarah berpindah agar tidak berdepan dengan risiko bahaya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak melengah-lengahkan untuk berpindah kerana dikhuatiri usaha menyelamatkan penduduk menjadi sukar terutama waktu malam.

“Jika waktu malam baru nak pindah, kita khuatir ia akan membahayakan nyawa semua pihak, termasuk pasukan penyelamat.



“Mereka (penyelamat) biasanya sukar untuk memindahkan penduduk waktu malam kerana terpaksa menggunakan bot dan tidak tahu di mana ada telaga, pagar, rumah dan sebagainya,” katanya kepada pemberita semalam.

Pusat pemindahan di Dewan Kampung Langkap menjadi lokasi pertama lawatan rombongan Menteri Besar diikuti Surau Pekan Sari, Bandar Permaisuri, Balairaya Kampung Tasek, Surau Kampung Permaisuri dan Surau Kampung Nyatoh.

Turut serta Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, YB. Asha’ari Idris, ADUN Permaisuri, YB. Abdul Halim Jusoh dan Pegawai Daerah Setiu, Rosdi Awang.



Di Besut, Dato’ Seri Ahmad dan rombongan menaiki trak sejauh kira-kira 12 kilometer menuju ke pusat pemindahan di Masjid Kampung La dan Sekolah Kebangsaan Kampung La kerana tiga jalan ke lokasi berkenaan ditutup untuk kenderaan ringan.

Memandangkan paras air terlalu tinggi, Menteri Besar terpaksa menaiki jentera berat untuk menuju ke dua pusat pemindahan itu serta sempat ke Kampung Keruak untuk menemui mangsa banjir di pusat berkenaan.



Tinjauan yang berakhir kira-kira pukul 9 malam itu turut disertai ADUN Hulu Besut, Nawi Mohamad; ADUN Jabi, Ramlan Ali dan ADUN Kuala Besut, Dr. A.Rahman Mokhtar dan Pegawai Dearah Besut, A. Rahim Jusoh.

Kerajaan sedia RM10 juta bina Kem Pengangkap Tengku Muhammad Ismail


Oleh FAUZI MOHD

Sejumlah RM10 juta diperuntukkan Kerajaan Negeri bagi membina Kem Pengangkap Tengku Muhamad Ismail, Telaga Batin, Kuala Terengganu.

Menteri Besar , Dato’ Seri Ahmad Said berkata, pelbagai kemudahan disediakan di kem itu untuk program pengakap yang akan diadakan dari semasa ke semasa.

"Kita akan lihat kemudahan-kemudahan lain yang perlu ditambah dari semasa ke semasa bagi keselesaan pengakap mengadakan perhimpunan di kem itu," katanya.



Beliau berkata demikian pada majlis Jamuan Negeri sempena Jambori Malaysia ke-12 dan Jambori Pengakap Antarabangsa Terengganu di Seri Iman, Kuala Terengganu.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, YB. Ahmad Razif Abd. Rahman dan Ketua Pesuruhjaya Pengangkap Malaysia, Dato’ Khairuddin Mukmin.

Jambori itu yang dirasmikan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin Jumaat lepas, menyaksikan 21 buah negara mengambil bahagian melibatkan 10,800 peserta.




Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail di Telaga Batin itu memiliki kemudahan lengkap dan terbaik dengan 65 buah bilik biasa dan 24 bilik tetamu kehormat serta mempunyai kawasan lapang untuk perkhemahan.

Pada majlis itu Menteri Besar turut menerima tajaan daripada syarikat pengedar kenderaan mewah BMW, Quil Automobiles Sdn Bhd telah menaja 60 buah kereta BMW serta wang tunai RM50,000 untuk jambori itu.

Sebuah lagi syarikat iaitu Nexedge Technology Sdn Bhd pengedar rasmi perlatan telekomunikasi jenama Kenwood telah menyumbangkan peralatan Radio Telekomunikasi Kenwood bernilai RM50,000.


23 November 2011

Menteri Besar tinjau kawasan banjir di Hulu Besut

Gambar oleh: Mohammad Ishak


Terpaksa menggunakan kenderaan pacuan empat roda ketika melawat mangsa banjir di Kampung La



Membantu memasak di pusat pemindahan banjir Kampung Keruak


Menaiki bot menuju ke Masjid Kampung La


Bermesra dengan seorang ibu..


Bertanya kabar dua pasangan suami isteri buta