Halaman

24 November 2011

Terengganu pilih pemain import mantap Skuad Penyu


Terengganu kini sedang rancak memilih pemain import bagi membantu Pasukan Penyu menghadapi kejohanan Liga Malaysia tahun depan.

Sehingga ini, dua pemain dari Rusia telah menjalalani ujian kecergasan manakala seorang lagi pemain import dari Ghana akan diuji dalam tempoh terdekat ini.

Naib Yang Dipertua Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu, Sheikh Tajudin Yusof, berkata pihaknya akan menguji lebih ramai pemain asing, termasuk dari Brazil, Nigeria dan Argentina dalam usaha memilih pemain terbaik bagi memantapkan Skuad Penyu.

“Kita juga akan menguji pemain dari beberapa negara lain yang turut menunjukkan minat untuk menyertai pasukan Terengganu musim depan,” ujar beliau.

Beliau berkata, ujian terhadap pemain import dijalankan di padang bola Sekolah Menengah Sultan Sulaiman, Batu Buruk.

Menurut beliau, PBSNT tidak akan terburu-buru membuat pemilihan pemain import kerana pihaknya mahu pemain benar-benar berkualiti dan mampu memantapkan Skuad Penyu bagi membolehkan pasukan itu menang lebih banyak piala musim depan.

Terengganu muncul juara Piala FA 2011 serta menjadi naib juara Piala Malaysia dan naib juara Liga Super.

"Kita akan tengok dulu kebolehan mereka sebelum membuat pemilihan kerana ada pemain yang gagal memenuhi kriteria yang ditetapkan," katanya.

Sheikh Tajudin berkata pemain import yang terpilih akan turut bermain untuk Terengganu pada kejohanan Liga Juara-Juara AFC tahun depan.

Sebagai juara Piala FA 2011, Terengganu layak untuk beraksi pada kejohanan tersebut.