Halaman

22 November 2011

Terengganu lokasi terbaik teruskan Piala Monsun



Oleh FAUZI MOHD


Kerajaan yakin dengan pengalaman dan kemampuan Terengganu untuk terus menjadi lokasi kejohanan kapal layar Piala Monsun yang akan berakhir pada 2012.

Menteri Belia dan Sukan, Dato' Sri Ahmad Shabery Cheek berkata, pihaknya berbangga dan menyokong penuh sekiranya Pulau Duyong terus menjadi medan perlayaran acara berprestij itu.

Menurutnya, Terengganu mempunyai fasiliti lengkap bagi acara tahunan sejak 2005 itu dan sejarah uniknya juga menyebut Piala Monsun dicipta untuk 'memanaskan' musim tenkujuh di negeri ini.

"Sememangnya kita berbangga dan menyokong jika sukan kapal layar Piala Monsun terus diadakan di Terengganu kerana ia dapat meningkatkan martabat sukan yang bertaraf antarabangsa itu," katanya.



Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian pembukaan kejohanan itu di Ri-Yaz Heritage Marina Resort and Spa, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Dato' Abdul Rahin Mohd. Said; Pengerusi T-Best Event selaku penganjur kejohanan, Tan Sri Sabaruddin Chik dan Naib Presiden I Persatuan Perlayaran Malaysia, Dato' Wan Hisham Wan Salleh.

Tambah Dato' Sri Shabery, beliau mengakui ada beberapa negeri yang telah menunjukkan minat untuk menjadi tuan rumah acara itu.

"Walaubagaimanapun, Terengganu yang sudah sinonim dengan kejohanan ini awal-awal lagi menunjukkan komitmen dan kesungguhan yang jitu untuk terus menjadi penganjur untuk tahun-tahun seterusnya," ujarnya.



Kejohanan lima hari itu menyaksikan 12 pasukan dari lapan negara yang berentap memburu juara dunia dan siri jelajah akhir World Match Racing Tour (WMRT) yang menawarkan hadiah keseluruhan kira-kira RM1.39 juta.

Memberi saingan, pasukan Malaysia akan diwakili Jeremy Koo dari pasukan Abdullah Chan/KRT, yang sebelum ini telah mengekalkan kejuaraan Match Racing Malaysia (MMRC) 2011.

Membawa cabaran kapal layar Foundation 36 di muara Sungai Terengganu, pasukan Berntsson Sailing Team, Sweden yang diketuai Johnie Berntsson; Bruni Racing, Itali (Francesco Bruni); YANMAR Racing, Australia (Dato' Peter Gilmour); Mekonomen Sailing Team, Sweden (Bjorn Hansen) dan French Match Racing, Perancis (Damien Iehl).

Selain itu, The Wave Muscat, Australia (Torvar Misky); Adrian Lee & Partners, Denmark (Jesper Radich); French Match Racing, Perancis (Mathieu Richard); WAKA Racing, New Zealand (Phil Robertson); Full Metal Jacket Racing, New Zealand (William Tiller) dan Team GAC Pindar, Britain (Ian Williams).

Tahun lalu, pasukan Team Origin of Great Britain yang diketuai Ben Ainslie muncul juara Piala Monsun setelah menewaskan Mirsky Racing Team, Australia yang diketuai Torvar Misky yang turut bertanding tahun ini.