Halaman

26 November 2011

Pelumba TSG berazam pamer aksi terbaik

Oleh: Suriati Ali

“Saya berazam akan melakukan yang terbaik pada kejohanan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012 yang bakal berlangsung tidak lama lagi supaya imej Terengganu dan negara terus tersohor di persada antarabangsa.

“Latihan untuk menghadapi LTdL sudah lama dijalankan dipelbagai lokasi di Terengganu dan Kuala Lumpur. Dalam masa terdekat mungkin akan ke Thailand untuk kuatkan stamina, fizikal dan mental sebelum menghadapi kejohanan berprestij itu nanti,” kata pelumba terkenal, Anuar Manan.

Beliau dari pasukan Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TSG), mengakui bukan mudah untuk menghadapi cabaran itu kerana terpaksa berdepan dengan pasukan yang lebih hebat dari pelbagai Negara.





Katanya, dia mengharapkan LTdL 2012 di mana Terengganu bakal menjadi tuan rumah dan menjadi destinasi terakhir akan memberi sedikit kelebihan kepadanya dan pelumba tempatan lain.

“Saya akan berlatih bersungguh-sungguh dan mengunakan peluang itu sebaik mungkin supaya dapat mengenggam apa yang diimpikan selama ini,” katanya ketika menghadiri Majlis Penyampaian Hadiah sempena kejohanan itu di Hotel Permai Inn, Kuala Terengganu, malam tadi (25 November).

Cabaran LTdL edisi ke-17 melibatkan perlumbaan sejauh 1,414.8km bermula dari Putrajaya pada 24 Februari hingga 4 Mac di Kuala Terengganu yang juga tuan rumah tiga peringkat bagi peringkat ke-8, 9 dan terakhir, 10.

Sebanyak 22 pasukan profesional termasuk tiga pasukan tempatan yang juga skuad kebangsaan termasuk TSG dan Le Tour Cycling Team bakal membawa cabaran negara dalam LTdL yang bertemakan `Ready For The World' musim depan itu.

Pelumba basikal profesioanal, Mohd Mohd Shahrul Mat Amin, berkata dia bangga kerana turut terpilih menyertai LTdL 2012 yang berakhir di Terengganu dan peluang itu tidak akan disia-siakan begitu saja.

“Kejohanan LTdL akan datang bagaikan satu bonus bagi pasukan TSG kerana bukan saja dapat pelumba terlibat dapat beraksi di tempat sendiri malah secara tidak langsung mampu memperkenalkan keindahan negeri kelahiran kepada pihak luar,” katanya yang berasal dari Bukit Payong.