Seluruh lokasi bagi Kejohanan Lumba Basikal Jelajah Terengganu (KLBJT) ke-15 yang berakhir petang semalam (25 November), bakal menjadi laluan pelumba basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012.
Laluan sepanjang 874 kilometer (km) dan membabitkan tujuh daerah di Terengganu itu akan menjadi laluan peringkat terakhir bagi kejohanan LTdL yang bakal berlangsung dari 24 Februari hingga 4 Mac tahun depan.
Terengganu buat pertama kali menjadi tuan rumah bagi kejohanan berprestij itu berazam melaksanakannya sebaik mungkin kerana menyedari bukan saja menjadi tumpuan pelumba antarabangsa malah jutaan pelancong asing.
Yang Dipertua Persatuan Lumba Basikal Terengganu, Dato' Ahmad Sidi Ismail berkata pihaknya sengaja memilih laluan tersebut kerana mahu menguji semua lokasi yang bakal dilalui pelumba puluhan pelbagai negara.
Katanya, sekiranya terdapat kelemahan mengenai struktur jalan, ia dapat diperbaiki dengan segera sebelum kejohanan berlangsung selain mahu membiasakan pelumba tempatan dengan laluan tersebut.
“Dengan adanya penganjuran seumpama ini, saya mengharapkan pelumba tempatan, terutama dari Pasukan kebanggaan Terengganu, Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TSG) dapat manfaat sepenuhnya dan bersedia untuk berdepan dengan LTdL nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas berucap di Majlis Penyampaian Hadiah sempena kejohanan itu di Hotel Permai Inn, Kuala Terengganu, malam tadi (25 November).
Seramai 11 pasukan membabitkan 66 pelumba profesional tempatan dan luar negara menyertai kejohanan anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan serta Majlis Sukan Negeri Terengganu.
Perlumbaan yang bermula di Bukit Payong, Marang pada 18 November itu, berakhir di Dataran Shahbandar, petang semalam (25 November).
Pasukan TSG, diumumkan sebagai johan keseluruhan bagi pertandingan itu dan berjaya membawa pulang RM5,000, Angkatan Tentera Malaysia (naib johan, RM4,000) dan Customs Cycling Club pula memenagi tempat ketiga, berjaya membawa pulang RM3,000.
Manakala pelumba terkenal, Anuar Manan mengungguli kategori raja pecut dan kategori individu pula dimenangi, Mohd Shahrul Mat Amin.