Halaman

22 November 2011

Tuanku Mizan setuju Piala Monsun diteruskan

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin turut berkenan Piala Monsun yang akan tamat kontrak penganjurannya di Terengganu pada tahun depan, diteruskan kerana ia memberi banyak manfaat kepada Terengganu.

Sehubungan itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pihaknya akan mengambil langkah selanjutnya bagi membolehkan Terengganu terus menjadi tuan rumah piala berprestij itu.

“Kita juga sudah memaklumkan hasrat Terengganu untuk terus menjadi tuan rumah Piala Monsun kepada Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan trofi baru Piala Monsun di GTower, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur malam ini.

Pada majlis itu, Menteri Besar menerima trofi berkenaan daripada Ketua Pegawai Eksekutif Garrad, Eric Deardoff dan menyerahkannya kepada Pengerusi Kejohanan Piala Monsun, Tan Sri Sabbaruddin Chik.



Hadir sama pada majlis tersebut Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Dato’ Abdul Rahin Said; Ketua Pegawai Eksekutif World Tour Match Racing Tour, Jim O’Toole dan para pegawai T-Best.

Sebelum ini, Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan jika kejohanan bertaraf dunia itu diteruskan kerana ia mampu memberi pulangan dari segi pelaburan asing dan meningkatkan industri pelancongan dalam jangka masa panjang.

Beliau berkata, ini kerana Terengganu mempunyai banyak kemudahan asas bagi menganjurkan kejohanan tersebut dan jika dihentikan, dikhuatiri boleh menyebabkan pembaziran.

Sementara itu, pelayar terkenal Dato’ Peter Gilmour berkata, Terengganu sudah bersiap sedia untuk menjadi penganjur Piala Monsun terbaik pada tahun ini.