Halaman

25 November 2011

Agensi kerajaan cekap kendali mangsa banjir

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Kerajaan Terengganu puas hati dengan prestasi dan kecekapan agensi kerajaan mengendalikan mangsa banjir di negeri ini, khususnya di segi agihan bekalan makanan ke pusat-pusat pemindahan.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang rungutan daripada mangsa banjir mengenai kelewatan pengagihan bekalan makanan dan pelbagai peralatan yang diperlukan bila mereka berpindah ke pusat penempatan mangsa banjir di seluruh negeri.



Setakat ini empat daerah di Terengganu dilanda banjir sejak beberapa hari lalu di mana lebih 1,000 penduduk terpaksa berpindah ke pusat pemindahan bila kediaman mereka ditenggelami air banjir.

“Secara keseluruhan saya puas hati dengan prestasi agensi kerajaan yang bertanggungjawab mengendalikan penghantaran makanan dan gerakan menyelamat di kawasan yang dilanda banjir,” katanya kepada Tegnukita hari ini.

Sebelum itu, Menteri Besar melawat beberapa pusat perpindahan mangsa banjir di daerah Kemaman dan mengagihkan bantuan makanan kepada mereka.

Beliau turut melahirkan rasa syukur kerana tidak ada penduduk negeri ini yang menjadi korban banjir pada tahun ini seperti tahun sebelum ini.

“Kita harap penduduk negeri ini, khususnya mereka yang tinggal di kawasan yang dilnda banjir terus menjaga ahli keluarga supaya tidak bermain air bah bagi mengelakkan kejadian buruk,” katanya.

Katanya, walapun keadaan banjir sudah beransur pulih, semua agensi kerajaan negeri terus berada dalam keadaan berjaga-jaga untuk menghadapi banjir pusingan kedua.