Terengganu bakal dibanjiri ribuan pengunjung bagi menyaksikan kejohanan lumba kapal layar bertaraf dunia, Piala Monsun 2011 yang dijadual berlangsung selama enam hari bermula 22 November ini di Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa di Pulau Duyong, di sini.
Sempena acara tahunan itu, pelbagai acara menarik akan disediakan oleh pihak penganjur selain acara sampingan bertempat di sekitar Pulau Duyong bagi memeriahkan kejohanan sebagai penutup tirai Siri Jelajah Dunia Match Racing 2011 kali ini.
Antara acara yang bakal disediakan adalah pertandingan tarik tali, gusti lengan, pertandingan kayak kebangsaan, pertandingan perahu panjang kebangsaan serta pertandingan perahu tradisional.
Selain itu, acara sukan air seperti pelayaran mencari juara dan demonstrasi serta pertandingan mendayung turut disediakan.
Tidak ketinggalan Kejohanan Terbuka Terengganu Muay Thai yang diikuti Idol Final Piala Monsun 2011 dalam usaha mencari suara terbaik di Piala Monsun.
Begitu juga acara Sasuke Malaysia, NTV7 @ Monsoon Cup dan Media Explorace di samping kempen kesedaran 'Drive Derma Darah' turut diadakan untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan mengenai pentingnya menderma darah.
Dalam pada itu, bagi memastikan para penonton tidak terlepas acara-acara yang diadakan, kerajaan Terengganu akan menyediakan kemudahan pengangkutan percuma ke Pulau Duyong di sepanjang Piala Monsun berlangsung.
Bagi tujuan itu, dua buah bas dan enam bot penambang disediakan untuk keperluan penonton berulang-alik ke Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa di Pulau Duyong.
Bot-bot penambang akan membawa penonton dari Jeti Shahbandar ke jeti di Ri-Yaz manakala pengunjung yang memandu sendiri ke lokasi itu berpeluang menggunakan tempat letak kereta di luar pintu masuk utama resort, di mana 20 buah beca disediakan untuk membawa masuk ke lokasi kejohanan.
Sementara itu, penganjur Piala Monsun turut menyediakan perkhidmatan bas shuttle percuma yang akan mengambil penumpang dari satu lokasi yang ditetapkan dan berhenti di Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa.