Halaman

21 November 2011

Rakyat diminta berjaga-jaga -SUK

Oleh; Esah Abdullah

Rakyat di negeri ini diminta bersiap sedia dan berjaga-jaga mengenai ancaman banjir yang dijangka berlaku esok (selasa) berikutan hujan lebat sudah mula turun sejak malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Negeri Terengganu (JPBBNT), Dato’ Haji Mazlan Ngah berkata, semua masyarakat terutama yang tinggal di kawasan berisiko tinggi perlu mendapatkan berita terkini dan segera berpindah jika diarahkan berbuat demikian.

“Paling penting, awasi anak masing-masing dan jangan biarkan mereka bermain air dalam keadaan sekarang,” katanya kepada Teganukita ketika dihubungi melalui telefon hari ini.

Setiausaha Kerajaan itu berada di Kuala Lumpur di atas urusan rasmi kerajaan dan dijangka pulang ke Terengganu malam esok dan mengakui telah mendapat maklumat melalui khidmat pesanan ringkas (sms) mengenai hujan lebat mula turun sejak semalam.

Katanya, sebahagian besar berlaku insiden kehilangan nyawa ketika musim tengkujuh bukan kerana kemalangan semata-mata tetapi akibat kelalaian seperti sengaja bermain air , mandi dan menjala ikan.

Dato’ Haji Mazlan turut menggesa semua pihak termasuk jabatan dan agensi kerajaan, Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO), pemimpin komuniti setempat (JKKK) perlu memperkemaskan jentera pengurusan bencana masing-masing supaya lebih proaktif dan responsif pada setiap masa.

“Kita telah bersiap sedia sepenuhnya dari segi bekalan makanan, keperluan harian, kelengkapan logistik, kenderaan serta kekuatan anggota dibarisan hadapan,” katanya.
Terdapat 347 buah pusat pemindahan seluruh negeri bagi menghadapi sebarang kemungkinan di 196 kawasan yang sering dilanda banjir dan boleh menampung 51,745 orang mangsa.

Dalam masa yang sama Jabatan Kebajikan Masyarakat mengenalpasti 112 buah pangkalan hadapan bagi menempatkan bekalan supaya tidak terputus bekalan di samping dapat dihantar dengan cepat ketempat kejadian bencana.